`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 1, 2023

Tapir sesat di tingkat 5 parkir hotel dibawa ke Zoo Melaka

 

Seekor tapir sesat di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka hari ini. (Gambar Bomba Melaka)

MELAKA: Seekor tapir dianggarkan seberat 250 hingga 290kg yang ditemui sesat di tingkat lima kawasan parkir di sebuah hotel di Banda Hilir, ditangkap dan dipindahkan ke Zoo Melaka.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Firdaus Mahmood, berkata pihaknya bersama anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam dalam operasi menangkap dan memindahkan haiwan itu.

“Pihak Perhilitan membuat pemerhatian dan cuba mengesan tapir itu sejak dua minggu lepas yang dipercayai sesat dari habitat asal, iaitu kawasan hutan di utara Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.

“Kita juga mendapat maklumat dan panggilan mengenai kewujudan tapir ini di beberapa tempat (sebelum ini), namun tidak berjaya dijejaki sehingga akhirnya ditemui hari ini, sesat di tingkat lima, ia dipercayai naik ke tingkat atas mengikut laluan kenderaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pada mulanya 10 anggota Perhilitan digerakkan ke hotel itu selepas menerima maklumat kemunculan haiwan terbabit dan mereka menunggu tapir itu sehingga ia tenang dan stabil sebelum menangkapnya.

Katanya, tapir itu mengalami luka kecil di bahagian kaki dan dipindahkan ke Zoo Melaka untuk dirawat, sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

Komander Operasi Bomba Melaka, Sopian Hassan, berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi, selepas menerima panggilan kemunculan haiwan itu kira-kira 9.04 pagi tadi.

“Sejurus tiba, lima minit kemudian di lokasi kita dapati ada seekor tapir di tingkat lima hotel dan meminta Perhilitan menangkap haiwan itu. Operasi tamat pada 2.30 petang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.