Saya harap KPM tidak hanya berkisar tentang mendiagnostik anak yang cerdik, teliti juga golongan pelajar 'istimewa' yang sering dicop bodoh hanya kerana tidak berminat dengan kurikulum yang ada.

Isu pendidikan tak pernah habis sejak saya bersekolah lagi. Dari isu beg berat, sekolah dua sesi, pertukaran nama sijil peperiksaan, jadual anjal sampailah hari ini – isu murid enam tahun boleh masuk darjah 1. Saya meneliti beberapa komen ahli politik, ahli akademik dan juga pandangan warganet; memang masing-masing punya hujah bernas pro dan kontra tentang bolehkah majoriti anak Malaysia ikut apa yang dirangka ini sebab di sekolah ada macam-macam kes. Pelajar datang daripada pelbagai latar keluarga dan semestinya akan memberikan kesan yang tidak kecil terhadap keberkesanan sesuatu dasar. Yang nyata, pengumuman sesuatu dasar selalu diumum seperti tergesa-gesa sehingga kita jadi kalut.
Dalam kecoh polemik isu murid enam tahun boleh masuk darjah 1 ini, saya tertarik bila ada seorang pengomen cerita pengalamannya di mana ada seorang dua rakan sekelas dia sewaktu Tingkatan 4 yang masih belum boleh membaca. Jadi, dia berasakan wajar anak masuk sekolah lebih awal untuk mengenal pasti mana yang lemah dan mana yang cerdik. Pengalaman bertemu murid remaja masih belum reti membaca ini pernah saya tempuh.
Saya adalah bekas guru vokasional. Saya teringat mula-mula mengajar dulu, saya juga terperanjat apabila menemui kes sebegitu. Untuk pengetahuan semua, vokasional ada dua aliran waktu itu iaitu aliran SPMV (sebelum itu bergelar SPVM) di mana di samping mata pelajaran kemahiran vokasional, pelajar juga belajar subjek elektif untuk melayakkan mereka menduduki sijil Tingkatan 5 seperti rakan mereka di sekolah menengah kebangsaan lain. Satu lagi aliran pula ialah SKM (Sijil Kemahiran Malaysia), sebuah sijil khas keluaran Kementerian Sumber Manusia yang mana pelajar berada di bengkel kemahiran sepenuh masa tanpa perlu mengambil SPM. Sebelum SKM namanya LLPPKK (Lembaga Latihan Perindustrian Persijilan Kemahiran Kebangsaan) kemudian menjadi MLVK (Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan).
Pelajar aliran ini hanya akan mengambil peperiksaan teori dan amali kursus ketukangan mereka sahaja dengan pengiktirafan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia. Bermakna, di sekolah vokasional, pelajar aliran SKM ini wajib lulus sekurang-kurangnya sijil peringkat asas dan jika lulus bermakna pelajar ini diakui benar-benar mahir kerana ia diiktiraf oleh badan daripada Kementerian Sumber Manusia sendiri. Itulah pengalaman yang ingin saya kongsi apabila bertemu pelajar lepasan Tingkatan 3 yang masuk ke sekolah kami mengambil aliran SKM ini di mana ada antara mereka yang sudah berusia 16 tahun masih terkial-kial nak eja nama sendiri. Kenapa boleh jadi begini?
Saya dan rakan-rakan cikgu lain pernah juga menyalahkan cikgu sekolah mereka sebelumnya. Apa yang cikgu sekolah rendah dan menengah buat selama ini sampai membiarkan mereka tak boleh membaca? Ibu bapa di rumah tak ambil berat ke? Atau budak-budak ini memang bodoh?
Lama kemudian baru saya mengerti antara murid pandai dan murid lemah di sekolah, antara murid normal dan murid OKU lembam, kita sebenarnya ada golongan anak-anak seperti yang saya ceritakan ini. Mereka budak normal yang menghadapi kesulitan belajar mata pelajaran menulis, mengira dan membaca. Mereka mempunyai ‘kelainan upaya’ yang lain. Mereka tak dapat memenuhi kurikulum sekolah biasa yang disusun oleh Kementerian Pendidikan. Ia tidak sesuai untuk mereka walaupun majoriti pelajar normal tiada masalah mengikutinya. Untuk mereka, memang tak boleh. Maka itu tak hairan mereka ini digelar ‘bodoh’ oleh kawan mereka sendiri dan juga sebilangan cikgu.
Cikgu-cikgu sekolah tidak mempunyai banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada murid jenis ini yang mungkin hanya ada dua orang sahaja daripada 100 pelajar sebaya mereka di dalam sebuah sekolah. Cikgu harus kejar ‘syllabus’ kerana 98 orang perlu ikut sepenuhnya. Dua anak ini tak mampu bersaing lalu mereka tertinggal walaupun duduk di dalam kelas sama. Apa yang boleh diulas di kad rekod pencapaian akademik mereka ialah ‘malas berusaha’ dan ‘suka mengganggu kawan’.
Di sekolah vokasional, kami terima mereka ini bersama murid lain dalam aliran SKM. Memang mereka mengalami kepayahan membaca. Ada juga yang lainnya boleh menulis tetapi lambat. Disuruh menyalin nota pun 10 minit saja bertahan kemudian mereka pun tersengguk mengantuk. Kelas akademik seperti menyeksa mereka. Tetapi mereka tiba-tiba bertenaga apabila waktu kelas amali. Ya! Mereka suka bekerja. Mereka pening jika disuruh mengira berapa ukuran objek dengan menggunakan alat pengukur seperti mikrometer tetapi bila disuruh menservis brek kereta, menggergaji besi atau kayu, mereka hebat. Potensi mereka adalah di bidang ketukangan, bukan menelaah buku.
Saya merenung semula diri saya sendiri. Sewaktu di maktab perguruan, saya pelajar yang pasif. Saya tak hadir aktiviti kokurikulum sebelah petang seperti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta badan unit beruniform. Saya memonteng keluar ke Pasar Budaya menemui kawan-kawan ‘seni’ saya. Akibatnya, sijil perguruan saya hanya bertaraf lulus biasa sahaja. Meskipun pencapaian akademik melayakkan saya untuk dapat gred kepujian tetapi syarat minimumnya kokurikulum mesti B. Kokurikulum saya dapat C+. Duduklah saya di kategori sekadar lulus. Ya, mungkin saya dicop malas dan kaki ponteng tetapi saya tak seronok dengan aktiviti itu. Ramai juga kawan saya tak berminat tapi mereka hadir juga demi mahu lulus dengan baik. Saya tak boleh berpura-pura. Saya tertekan.
Di sekolah, saya juga diberi tugas sebagai guru penasihat beberapa kelab dan persatuan. Saya akui, saya buat sekadar ‘gitu-gitu’ saja. Saya kurang gemar berkawad dan berkhemah seperti sering dibuat oleh badan-badan beruniform. Tetapi, apabila saya mula menubuhkan kelab teater, komitmen saya dua kali ganda. Saya latih pelajar dengan bersungguh-sungguh. Juga apabila melatih pelajar mengadakan persembahan pentas, saya buat betul-betul. Inilah yang membuat saya terfikir tentang anak-anak yang tak reti membaca itu. Mereka cenderung ke arah lain.
Waktu itu saya mula faham, anak-anak seperti yang saya sebutkan tadi adalah satu kumpulan lain dalam ramai-ramai anak kita yang biasa. Mereka adalah produk tenaga mahir selepas keluar sekolah. Mereka bukan dalam kumpulan anak-anak kita yang wajib masuk universiti dan memegang jawatan besar. Mereka ‘alergik’ dengan huruf, nombor dan buku. Mereka ghairah memegang tukul, sepana atau pemutar skru. Apakah ‘standard’ mereka rendah? Tidak! Malah, melalui kemahiran mereka itu telah ada yang mencapai tahap juruteknik atau tenaga pakar di tempat kerja sehingga tempat kerja mereka membiayai perbelanjaan untuk tingkatkan lagi skil mereka.
Saya pernah berjumpa semula anak-anak murid yang dikatakan bodoh ini. Malah ada yang kekal berhubung dan menjadi rakan Facebook. Seperti orang lain, mereka juga ada isteri dan anak. Paling menggembirakan saya ialah mereka boleh menulis ketika berhubungan. Tidaklah sebaik kita barangkali tetapi bolehlah berurusan dan kalau kita tak tahu latar belakang sekolah mereka, kita akan menganggap mereka sama sahaja dengan orang lain. Mereka akan matang dalam dunia pekerjaan.
Itulah, saya berharap kepada menteri pendidikan dan kementeriannya tidak hanya berkisar tentang mendiagnostik anak-anak yang cerdik. Teliti jugalah golongan pelajar ‘istimewa’ kelainan upaya seperti yang saya ceritakan ini, yang sering dicop bodoh hanya kerana tidak berminat dengan kurikulum yang ada. Salurkan mengikut kebolehan mereka. Kalau boleh kembalikan dengan serius subjek kemahiran, pertanian dan ketukangan di sekolah agar kita dapat mencungkil potensi anak-anak yang cenderung ke arah bidang tersebut. Mereka juga aset negara. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.