Marah betul PAS pada Bersatu, meski saya berpendapat dalam krisis politik Perlis ini Bersatu is no angel either.

Artikel ini bolehlah dianggap lanjutan penulisan saya semalam.
Sebelum presiden Bersatu mengunjungi mursyidul am PAS di Arau, Perlis pada Jumaat lalu, partinya sudah berulang kali buat penafian. Terbaharu pada 12 Januari lalu, apabila Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya partinya sabotaj dan khianati PAS di Perlis, merujuk kemelut politik di negeri itu tempoh hari.
Oleh itu saya yakin krisis itu dibangkitkan lagi dalam pertemuan Muhyiddin dengan Hashim Jasin. Mustahil tidak. Muhyiddin sekurang-kurangnya menghuraikan betapa partinya tidak bersalah. Yang saya tidak pasti ialah sama ada beliau turut mempertahankan tiga bekas Adun PAS yang dikenakan tindakan oleh parti mereka.
Selesai pertemuan, Hashim beritahu media penyingkiran tiga bekas Adun PAS bersabit kemelut itu ‘belum muktamad’. Pemerhati dan penganalisis politik agak terkejut kerana pertama kali dengar mursyidul am tidak mahu ikut presiden.
Seperti ditulis dalam artikel saya semalam, setiausaha politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman, meyangkal kata-kata Hashim. Menurut beliau pemberhentian keahlian tiga bekas Adun berkenaan adalah muktamad kerana ia keputusan kepimpinan pusat parti dan bukannya arahan peribadi Hadi Awang.
Semalam, FMT memetik Hashim menyifatkan hukuman ke atas Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) dilakukan secara tergesa-gesa tanpa merujuk majlis syura ulama. Ketiga-tiga sudah membuat rayuan kepada majlis itu.
Bagaimanapun Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Rohimi Wan Daud, menjelaskan mereka bertiga tidak dipecat melalui proses tatatertib tetapi status keahlian mereka terhenti mengikut peruntukan perlembagaan parti. Justeru status mereka adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.
Sememangnya PAS tidak pernah guna istilah ‘singkir’ atau ‘pecat’ dalam mengambil tindakan ke atas mereka bertiga. Kenyataan PAS (dan juga Hadi) menyebut keahlian mereka terhenti serta-merta. Call it cruel or unfair tetapi perlu dilihat sebagai langkah bijak. Bagai checkmate. Seakan gantung tidak bertali.
Namun mursyidul am tetap berkata majlis syura ulama akan bermesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan secara terperinci rayuan yang dikemukakan tiga bekas Adun terbabit.
Imbau kembali. Mereka bertiga bersama lima Adun Bersatu dikatakan menarik sokongan kepada Menteri Besar Shukri Ramli. Kemelut tercetus yang menyaksikan Shukri letak jawatan. Penggantinya Abu Bakar Hamzah, orang Bersatu. Perlu diingatkan tidak seperti PAS yang jatuh hukum ke atas tiga ahli mereka, Bersatu tidak berbuat demikian maka timbul pelbagai tuduhan. Saya lihat ini bagai sesuatu yang tak kena.
Beberapa hari lalu Abu Bakar mencadangkan tiga bekas Adun PAS itu (adakah mereka akrab dengan beliau?) dikekalkan sebagai wakil rakyat berstatus bebas. Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari melenting dan menasihati Abu Bakar jangan campur urusan parti lain, sekali gus mengingatkan Abu Bakar “pastikan tidak jadi MB tersingkat dalam sejarah, cukup dah itu,” kata Fadhli di Facebook.
Bukan itu sahaja. Kata beliau, PAS juga boleh “main politik dan berperang”. Mengambil kira dua amaran itu, adakah bermakna PAS boleh tumpaskan Abu Bakar?
Seperti artikel semalam, saya petik juga catatan aktivis media, Fathi Aris Omar, untuk penulisan hari ini. Kata beliau, “PAS memang suka cari gaduh nampaknya. Tidak reda-reda lagi luapan api kemarahan. Elok dah MB beri cadangan dituduh mahu campur tangan.”
Umum tahu PAS termasuk Hadi tidak senang (istilah lembut) terhadap Bersatu dan tiga bekas Adunnya, yang dilihat bersengkongkol dengan Bersatu menjatuhkan Syukri, menteri besar daripada PAS.
Marah betul PAS pada Bersatu, kata Fathi. “MB tu kesian tiga wakil rakyat. Tetapi PAS macam mahu balas dendam pada tiga orang tersebut. Pada hal wakil rakyat itu bukan hendak sokong lawan politik mereka PH, BN atau PMX. Mereka hendak sokong PN juga. Tetapi tidak dibenarkan. Ganjil betul logika PAS.”
Ada benarnya kata Fathi meski saya berpendapat dalam krisis politik Perlis ini Bersatu is no angel either.
Hakikatnya, at least in this issue, presiden dengan mursyidul am PAS tidak seirama dan tidak senada. Masing-masing ada penyokongnya. Bak kata Fathi, Muhyiddin ‘sudah tunduk’ pergi jumpa Hashim yang rasa keputusan (berhubung tiga bekas Adun) belum muktamad tetapi “geng presiden keras kepala juga. Apa hendak jadi ni?”
Bercakap pula pasal ‘balas dendam’. Tidak seperti PAS yang terpaling Islamis, saya tidak arif soal agama. Lantas saya lakukan carian. Yang saya dapati begini: “Dalam Islam membalas kejahatan diperbolehkan (Qishash) asalkan setimpal, tidak melampaui batas dan tidak didasari hawa nafsu.”
“Namun menahan amarah, memaafkan dan membalas dengan kebaikan jauh lebih mulia serta mendatangkan pahala dan kemuliaan di sisi Allah. Islam melarang sikap dendam yang berlebihan kerana berpotensi merosak hati dan menimbulkan kezaliman baru.”
Wallahualam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.