Siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata salah sebuah kenderaan mewah itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak tindakan undang-undang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kereta mewah itu menggunakan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media.
Siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, sekali gus menjadikan kes itu antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi.
“Siasatan lanjut turut mendapati motif utama pemandu terbabit berbuat demikian adalah untuk mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik,” katanya.
Kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain berkaitan.
“Baki kereta mewah lain yang disita dalam operasi sama didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan perlindungan insurans,” katanya.
JPJ turut menyita 15 kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi, 102 buah motosikal di bawah 250cc dan masing-masing sebuah van dan lori.
Dalam operasi yang bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari itu, JPJ mengeluarkan sebanyak 1,203 notis atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, Kifli memberi amaran tegas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan drastik termasuk sitaan kenderaan, sama ada motosikal mahupun kereta mewah, sekiranya didapati melanggar undang-undang. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.