Awang Azman Awang Pawi berkata Zahid Hamidi sebagai menteri Felda perlu bina semula kepercayaan akar umbi dan peneroka terhadap BN serta Umno.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kemerosotan sokongan yang semakin ketara pada PRU15 bukan berpunca kekuatan Perikatan Nasional (PN) dan perubahan ideologi pengundi sebaliknya rasa kecewa mereka.
Menurutnya, kekecewaan itu didorong tekanan ekonomi seperti kos sara hidup, selain persepsi Umno dilihat terlalu elit dan jauh daripada realiti kehidupan peneroka.
“Jika Zahid mampu membawa hasil segera boleh dirasa peneroka dan membina semula kepercayaan akar umbi, BN masih berpeluang menang semula sebahagian besar kerusi di Felda pada PRU16.
“Perlu tunjuk konkrit dalam tingkat pendapat, ketelusan pentadbiran serta konsisten turun padang selesai isu seperti tanah dan keperluan generasi kedua Felda,” katanya kepada FMT.
Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Zahid mengumumkan beliau diberi tanggungjawab sebagai menteri memantau Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ahmad Maslan menjadi timbalan.
Timbalan perdana menteri itu turut memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah manakala Ahmad sebagai timbalan menteri kerja raya.
Selepas PRU15, Pertubuhan Suara Generasi kedua Felda (PSGF) mengeluarkan laporan yang menunjukkan PN memecahkan tembok BN di kawasan Felda.
Keputusan menunjukkan satu daripada tiga kerusi Parlimen dimenangi PN mempunyai kawasan Felda atau kira-kira 35% daripada keseluruhan 73 kerusi yang dimenangi gabungan PAS serta Bersatu itu.
Gabungan itu menang di 26 daripada 54 kerusi di kawasan Parlimen Felda dengan PAS menguasai 16 manakala Bersatu pula 10.
BN yang menang 30 kerusi Parlimen pada PRU15, hilang 12 kerusi Parlimen Felda apabila hanya mampu menang di 16 kawasan Parlimen.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata sokongan di Felda tidak ‘hilang tiba-tiba’, sebaliknya berubah apabila lawan BN mengukuhkan gerak kerja terutama sejak PRU14.
“BN mungkin silap kerana menganggap peneroka Felda akan sentiasa menyokong mereka. Jadi perhatian tidak diberi sangat bila pembangkang mula masuk ke dalam Felda.
“Pembangkang memanfaatkan naratif kononnya kerajaan ketika itu tidak menjaga kepentingan peneroka dengan betul,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.