`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, January 26, 2026

Parlimen digesa tumpu isu biaya penjagaan kesihatan, kos perubatan

MMA bertegas penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab seluruh negara dan masyarakat, maka tidak seharusnya dipolitikkan.

doctor
Kira-kira 70% penduduk bergantung pada sistem penjagaan kesihatan awam, yang ketika ini kekal terbeban dan perlu terus diperkukuh, kata MMA.
KUALA LUMPUR:
 Isu yang menyelubungi pembiayaan penjagaan kesihatan dan peningkatan kos perubatan perlu terus dibangkitkan serta dibahas di Parlimen kerana ia memberi kesan kepada masyarakat umum, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden Dr R Thirunavukarasu berkata inisiatif Insurans dan Takaful Kesihatan Malaysia (MHIT) mencerminkan usaha serius pertama kerajaan yang terselaras, melibatkan pelbagai kementerian serta pihak kawal selia bagi menangani inflasi perubatan dan kenaikan premium insurans.

“Ini adalah kali pertama kita melihat usaha kolektif yang serius melibatkan pelbagai kementerian dan pihak kawal selia bagi menangani isu pembiayaan penjagaan kesihatan… ia merupakan langkah ke arah yang betul terutama selepas kebimbangan mengenai inflasi kesihatan dan peningkatan premium dibangkitkan di Parlimen,” katanya dalam program The Nations terbitan Bernama TV.

Thirunavukarasu berkata kos penjagaan kesihatan meningkat disebabkan beberapa faktor seperti populasi menua, peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD), kos pematuhan peraturan lebih tinggi serta penggunaan meluas teknologi perubatan canggih khususnya dalam rawatan sekunder dan tertiari.

Rawatan yang tertangguh semasa pandemik Covid-19 turut menyumbang kepada lonjakan kes selepas pandemik, sekali gus memberikan tekanan tambahan terhadap sistem penjagaan kesihatan terutama di hospital swasta manakala kos penjagaan primer masih kekal pada tahap yang terkawal.

Thirunavukarasu juga berkata kira-kira 70% penduduk bergantung pada sistem penjagaan kesihatan awam, yang ketika ini kekal terbeban dan perlu terus diperkukuh sebagai jaringan keselamatan negara.

“Penjagaan kesihatan adalah isu sistemik… Anda tidak boleh menyelesaikannya dengan pendekatan jangka pendek,” katanya, dan menambah pembaharuan yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan termasuk reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan dan pengekalan tenaga kerja perlu dilaksanakan secara konsisten.

Beliau mengulangi pendirian MMA bahawa perbelanjaan penjagaan kesihatan awam sepatutnya mencapai sekurang-kurangnya 5% daripada KDNK yang dianggarkan sekitar RM70 bilion hingga RM80 bilion setahun.

Justeru, Ahli Parlimen hendaklah memainkan peranan yang lebih besar dalam membincangkan mekanisme pembiayaan mampan termasuk insurans kesihatan sosial dan pembiayaan kesihatan nasional bagi memastikan kelestarian sistem dalam jangka panjang.

“Penjagaan kesihatan tidak seharusnya dipolitikkan… ia sepatutnya menjadi tanggungjawab seluruh negara dan seluruh masyarakat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.