`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 27, 2026

PN kini harapan rakyat, Tuan Ibrahim dakwa ada usaha pecah belah gabungan

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tegaskan hubungan dalam PN tidak seperti digembar-gembur di media sosial.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata wujud usaha terancang memecahbelahkan PN, khususnya melibatkan hubungan PAS dan Bersatu.
PETALING JAYA:
 Seorang pemimpin PAS mendakwa gambaran Perikatan Nasional (PN) dilihat seolah-olah berpecah belah ketika ini sebenarnya dirancang musuh menyedari kekuatan gabungan itu, yang didakwanya menjadi harapan rakyat.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata wujud usaha terancang memecahbelahkan PN, khususnya melibatkan hubungan PAS dan Bersatu.

“Mereka (musuh) tahu kekuatan PN sekarang dan perlu buat sesuatu untuk memecahkannya supaya PN tidak lagi menjadi harapan rakyat.

“Dia cuba memecahkan PAS sebab rakyat harap kepada PN sahaja sekarang. Rakyat minta, tolong jangan pecahkan,” katanya dalam satu video di Facebook sambil menegaskan hubungan dalam gabungan itu tidak seperti yang digembar-gemburkan.

Menurutnya ramai keliru kerana terpengaruh dengan kandungan berbayar di media sosial serta laskar siber yang didakwa menerima bayaran ribuan ringgit untuk menimbulkan polemik.

“Sebab itu bila kita baca berita, jangan beriman terus. Mengucap dua kalimah syahadah dulu dan jangan terus percaya.

“Takut-takut kita terperangkap dengan mainan musuh,” kata Tuan Ibrahim, antara nama disebut sebagai calon menerajui PN selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan itu berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Isu pelantikan pengerusi PN menjadi polemik dalam gabungan dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP, yang bermula dengan krisis politik di Perlis.

Krisis itu menyaksikan jawatan menteri besar bertukar daripada PAS kepada Bersatu apabila Adun Sanglang Shukri Ramli digantikan wakil rakyat Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan pada 25 Dis lalu, lapan wakil rakyat PN termasuk tiga daripada PAS dilaporkan menandatangani akuan berkanun bagi menarik balik sokongan terhadap Shukri.

PAS kemudiannya menggantung keahlian tiga wakil rakyat terbabit, iaitu Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).

Bagaimanapun, parti itu memutuskan tidak menyertai pentadbiran baharu Perlis, namun kekal memberi sokongan.

Pada 29 Dis lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN, manakala PAS mengesahkan hasrat untuk mengetuai gabungan itu.

Presidennya Hadi Awang bagaimanapun menolak dicalonkan ke jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Selain Tuan Ibrahim, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganu turut disebut-sebut berpotensi mengisi jawatan itu, yang dijangka diputuskan Majlis Tertinggi PN pada Khamis ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.