Menteri Mohamad Sabu berkata kerajaan akan terus memantau pasaran beras di Malaysia dan antarabangsa.

“Walaupun ada pihak pesawah yang menghantar memorandum minta dinaikkan, pada masa ini kita berpandangan kekal dengan RM1,500.
“Dan kita lihatlah keadaan masa depan, bentuk pasaran beras di Malaysia dan antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi kementerian itu.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga lantai padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan sentiasa peka terhadap rintihan pesawah dan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan jika keadaan mendesak.
“Jangan anggap kita tidak peka apa yang dituntut oleh rakyat kalau ianya munasabah.
“Kalau rintihan itu terus berlaku, kita akan bincang dan sentiasa buat libat urus,” katanya sambil memetik kejayaan penyelarasan kadar pemotongan pemutuan padi daripada 24% kepada sekitar 20% hingga 21% di beberapa kawasan di Kedah.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Azhar Hashim pada 21 Jan lalu menyerahkan memorandum khusus mewakili pesawah dari seluruh negara kepada Mohamad.
Memorandum itu mengandungi tuntutan utama termasuk penetapan kadar siling pemutuan padi pada 20%, kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 satu tan metrik, penambahan subsidi harga padi serta pengurangan kos input pertanian seperti benih, baja dan perkhidmatan jentera.
Turut dibangkitkan dalam memorandum berkenaan ialah isu kelewatan pengedaran baja dan masalah pengairan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Dalam pada itu, Mohamad turut mengakui kadar pengeluaran beras domestik negara ketika ini masih belum mencapai tahap optimum akibat pelbagai faktor luar jangka.
“Memang pengeluaran beras sebenarnya bukan meningkat. (Tahap Sara Diri) Kita sekarang berada di peringkat 52% sahaja kerana berlaku masalah perubahan cuaca dan faktor-faktor lain,” katanya.
Tambahnya, usaha meningkatkan hasil padi menerusi pembukaan kawasan jelapang baharu di negeri-negeri selatan seperti Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan berdepan cabaran teknikal.
“Ada tanah yang sesuai tetapi proses penukaran dan usaha memulihkan tanah itu agak lambat. Begitu juga di Sabah dan Sarawak yang memerlukan peruntukan yang agak banyak,”katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.