`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, February 5, 2026

Kemasukan murid pelbagai kaum tak jejas kualiti SJKC, kata Fadhlina

Menteri pendidikan berkata langkah itu sebaliknya menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional selaras aspirasi sistem pendidikan kebangsaan.

sekolah cina
Fadhlina Sidek berkata bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terus diajar sebagai mata pelajaran wajib mengikut kurikulum kebangsaan di SJKC. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Kemasukan murid daripada pelbagai kaum ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pusat terbabit, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Sebaliknya, beliau berkata penyertaan pelajar berbilang kaum di sekolah berkenaan membantu memperkukuh elemen perpaduan nasional, sejajar dengan matlamat sistem pendidikan kebangsaan.

Menurutnya, bahasa pengantar di SJKC kekal bahasa Cina, manakala bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terus diajar sebagai mata pelajaran wajib mengikut kurikulum kebangsaan.

“Murid bukan penutur jati bahasa Cina pula dibantu melalui program transisi, intervensi bahasa dan pendekatan pedagogi pembezaan dilaksanakan guru terlatih,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) sama ada kekurangan pelajar di SJKC yang mendorong kemasukan pelajar kaum lain boleh memberikan kesan buruk terhadap pembelajaran dan pengajaran akibat perbezaan bahasa.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata data Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan sebilangan SJKC, khususnya di kawasan luar bandar, mengalami penurunan enrolmen akibat perubahan demografi dan migrasi penduduk.

Bagaimanapun, katanya, trend itu tidak wajar digambarkan secara umum kerana secara keseluruhan kadar penyertaan di SJKC kekal stabil, malah menunjukkan peningkatan minat di kalangan ibu bapa pelbagai kaum.

Dalam perancangan jangka panjang, beliau berkata KPM akan terus menegaskan prinsip inklusiviti serta menghormati pilihan ibu bapa dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“KPM kekal mengutamakan kualiti pembelajaran, penguasaan bahasa kebangsaan, perpaduan nasional dan kesejahteraan murid tanpa mengira jenis sekolah atau latar belakang kaum,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.