`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, February 5, 2026

Tak wajar mansuh sepenuhnya sekatan jalan raya, kata NGO keselamatan

Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata pemansuhan sekatan fizikal boleh lemahkan pematuhan undang-undang.

jpj boh
Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya gesa sekatan jalan raya secara fizikal dikekalkan sebagai sebahagian penguatkuasaan keselamatan jalan raya bukan diganti sepenuhnya dengan teknologi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Cadangan menggantikan sepenuhnya sekatan jalan raya fizikal dengan penggunaan teknologi seperti Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) berisiko menjejaskan tahap pematuhan pengguna jalan raya, menurut Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PKJR).

Pengasas dan penasihatnya Jamil Manan Supri berkata sekatan jalan raya masih berperanan penting sebagai elemen pencegahan kerana ia mewujudkan persepsi risiko ditahan dalam kalangan pengguna.

“Penguatkuasaan secara bersemuka melalui sekatan jalan raya meningkatkan ‘perception of being caught’ (POBC).

“Tanpa elemen ini, tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya boleh menurun,” katanya kepada FMT sambil menyatakan beberapa kekangan penggunaan ANPR.

Ia termasuk ketidakupayaan mengesan semua kesalahan serta risiko kelemahan teknikal seperti kegagalan kamera atau nombor pendaftaran tidak jelas.

“Pelaksanaan ANPR secara menyeluruh juga melibatkan kos tinggi, termasuk keperluan pemasangan infrastruktur, penyelenggaraan sistem dan liputan teknologi yang mencukupi di seluruh rangkaian jalan dan lebuh raya negara.

“Teknologi memang membantu tetapi ia tidak boleh menggantikan sepenuhnya kehadiran fizikal penguat kuasa di jalan raya, khususnya di lokasi berisiko tinggi dan kawasan hotspot kemalangan,” katanya.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada bulan lalu berkata kerajaan bercadang mengurangkan kebergantungan kepada sekatan jalan raya fizikal yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, dengan beralih kepada penguatkuasaan automatik menggunakan ANPR.

Jamil berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sekatan jalan raya tanpa menjejaskan aliran trafik.

“Peningkatan data kemalangan dan kematian jalan raya menuntut penguatkuasaan berimpak tinggi dilaksanakan secara konsisten, bukannya dikurangkan semata-mata bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Matlamat utama menyelamatkan nyawa bukan sekadar mengurangkan kesesakan. Sekatan jalan raya dan ANPR sepatutnya digunakan secara bersama,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.