`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, March 3, 2026

1,600 jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi

 Konsulat jeneral buka bilik operasi 24 jam bagi memantau situasi serta menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

mekah haji umrah
Kira-kira 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi akibat konflik di Asia Barat. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
 Kira-kira 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi susulan pembatalan dan gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan akibat konflik di Asia Barat ketika ini, kata konsul jeneral di Jeddah, Tengku Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Beliau berkata pihaknya berjaya menghubungi kebanyakan jemaah terlibat, yang dikenal pasti berada di Jeddah, Makkah, dan Madinah.

“Alhamdulillah mereka dalam keadaan baik dan situasi di Arab Saudi terutamanya di Makkah, Madinah, dan Jeddah juga sangat baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Tengku Dzaraif berkata kebanyakan jemaah yang terkandas dijadualkan pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Malaysia Airlines serta beberapa syarikat penerbangan lain termasuk Qatar Airways, Emirates, dan Etihad.

Masih terdapat penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Lumpur melalui Saudia Airlines, selain perkhidmatan AirAsia yang beroperasi dengan kekerapan terhad.

“Ramai jemaah mengambil inisiatif sendiri atau diuruskan oleh ejen pelancongan untuk menukar penerbangan kepada Saudia Airlines, dan beberapa kumpulan telah berjaya pulang ke Malaysia.

“Malaysia Airlines juga bermurah hati menyediakan penginapan kepada jemaah yang sepatutnya pulang menggunakan syarikat itu,” katanya.

Sementara itu, konsulat jeneral di Jeddah membuka bilik operasi 24 jam bagi memantau situasi serta menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

Pihak konsulat turut menyelaras bantuan penempatan sementara dan kebajikan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, termasuk 19 pelajar yang terkandas di Jeddah akibat penutupan ruang udara di Jordan.

“Pelajar-pelajar ini telah diberikan penempatan sementara di konsulat dan juga di servis apartmen yang kita usahakan. Alhamdulillah pagi ini mereka telah bertolak pulang dengan bas yang kita sewa khas,” katanya.

Pihak konsulat sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan memantau perkembangan semasa termasuk kemungkinan keperluan penerbangan khas sekiranya konflik berlarutan.

“Buat masa ini kita masih membuat penilaian berdasarkan situasi semasa. Syarikat-syarikat penerbangan juga sedia maklum tanggungjawab mereka dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menyambung semula operasi,” katanya.

Krisis semasa di Asia Barat mendorong beberapa negara menutup atau mengehadkan penggunaan ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan komersial antarabangsa.

Situasi yang tidak menentu itu turut memberi kesan kepada jadual penerbangan ke dan dari beberapa hab utama di Timur Tengah, termasuk Arab Saudi, apabila syarikat penerbangan terpaksa membatalkan atau menjadualkan semula penerbangan atas faktor keselamatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.