Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menyifatkan cadangan jawatan itu diserahkan kepada pesuruhjaya PAS negeri sebagai pandangan peribadi.

Menyifatkan cadangan itu sebagai pandangan peribadi semata-mata, Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, menegaskan hubungan antara Adun Bersatu dan PAS di negeri itu kekal utuh menerusi kolaborasi erat.
“Kita tidak pernah membincangkan perkara itu. Bahkan ketika Azmin menyarankan untuk mengundurkan diri, tiada yang mendukung. Kita sampai sekarang pun merasa bahawa beliau masih calon terbaik untuk Selangor.
“PAS Selangor pun tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang minta supaya PAS menerajui Selangor,” katanya kepada FMT.
Rafiq mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, PN Selangor perlu diterajui Halim bagi memberi imej baharu kepada gabungan itu dalam mendepani PRN akan datang.
Menurut Iskandar, pelantikan Halim mampu menarik sokongan pengundi Melayu-Muslim yang lebih konservatif, selain menyifatkan kredibiliti beliau sebagai ahli akademik dan agamawan sebagai aset penting.
Pada 30 Dis lalu, Azmin mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha agung dan pengerusi PN Selangor selepas Muhyiddin Yassin berundur sebagai pengerusi gabungan.
Mengulas lanjut, Rafiq menjelaskan kedudukan politik di Selangor berbeza dengan negeri bawah SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis) kerana komposisi masyarakatnya yang berbilang kaum.
Katanya, Selangor secara tradisi dianggap sebagai ‘negeri Bersatu’ dan sewajarnya dipimpin pemimpin daripada parti itu, namun mereka akur dengan sebarang keputusan Majlis Presiden PN di peringkat pusat.
“Jika selepas berbincang antara presiden parti, mereka memutuskan untuk memberikan jawatan itu kepada Halim, maka kami akan mengikutnya tanpa sebarang bantahan. Apa sahaja keputusan dari atas, kami akan ikut,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.