Tak perlu kita beri gelaran siapa raja siapa bukan. Semua nama yang menghiburkan kita masing-masing ada kelebihan dan mereka hadir memberi ‘khidmat’ kepada kita dalam bentuk hiburan.

Minggu lepas, perdebatan berlaku di media sosial tentang siapa sebenarnya layak bergelar Raja Rock Malaysia. Ia berpunca daripada majlis pelancaran konsert bakal disertai Awie. Apabila ditanya tentang gelaran dan julukan ini, Awie berpendirian dia tidak pernah memikirkan tentang apa-apa gelaran kerana bagi dirinya dia cuba menghiburkan orang ramai dengan bakat dianugerahkan kepadanya. Tetapi Awie meletakkan Amy daripada kumpulan Search paling layak digelar Raja Rock.
Belum reda perdebatan, timbul pula kenyataan pemain gitar terkenal Jo Branko, bukan Amy seorang wajar digelar sedemikian sebaliknya kumpulan Search yang dianggotainya itulah ‘godfather’ rock sebenar. Bagi Jo Branko, rock itu datang sebagai sebuah band, bukan solo. Alamak! Bagaimana boleh ada dua fatwa berbeza, dan mana satu yang boleh kita pakai?
Sebenarnya, itulah cerminan masyarakat kita. Memang gemar melantik raja dalam dunia hiburan. Kita ada Raja Pop, Raja Gelek, Raja Lawak, Raja Dangdut, Ratu Jazz, Ratu Rock dan tentunya Raja Rock. Gelaran-gelaran ini bukan rasmi pun sebab tiada badan khas mengiktirafnya. Malah, tiada trofi atau sijil juga. Mengapa kita suka sangat mencari raja? Eleh! Kahwin pun dikatakan jadi raja sehari, kan?
Memang dalam budaya popular, kita suka mewujudkan simbol atau ikon. Kita mahu susuk yang boleh mewakili sesuatu zaman, sesuatu emosi atau sesuatu identiti kolektif. Dalam bola sepak, kita mencari ‘God of All Time’ atau GOAT. Dalam filem, kita mencari legenda – ada P Ramlee, Nordin Ahmad atau Eman Manan. Dalam nyanyian pun kita ada Saloma, Sharifah Aini, Siti Nurhaliza. Kita ada Sudirman, M Nasir, Jamal Abdillah atau Anuar Zain di pihak lelaki. Di dalam genre rock yang telah bertapak di dunia muzik tanah air hampir lima dekad, kita perlu mencari siapa yang paling layak duduk di takhta.
Tetapi, apabila bercakap tentang rock, kriterianya lebih rumit. Adakah Raja Rock ditentukan melalui vokal semata-mata? Kalau begitu, ramai penyanyi yang mempunyai teknik vokal baik layak dipertimbangkan. Namun, Raja Rock bukan macam pertandingan vokal seperti program realiti televisyen. Rock mesti bersuara serak, bernada tinggi, boleh menjerit – itulah yang memberikan jiwa kepada rock, katanya. Mus May dan Mael XPDC juga punyai kelebihan ini. Yantzen daripada Rusty Blade atau Nash Lefthanded pun cukup berpengaruh pada zaman kemuncak band tersebut.
Tetapi, jika dinilai berdasarkan pengaruh, skopnya jadi lebih besar. Seorang penyanyi rock bukan sekadar menyanyikan lagu. Dia membentuk gaya hidup, fesyen, gerak laku dan sikap generasi tertentu. Suaranya mewakili generasi waktu itu. Dia diangkat sebagai suri teladan (ewah! Cantiknya istilah ini) atau ‘role model’. Biasanya imej ikon rock mesti nampak gaya budak jahat atau ‘rebel’. Ada rockers cuma jadi-jadian sahaja dengan fesyen pakaian yang memang gempak tapi rupanya ‘mat skema’. Tiada ‘attitude’ rock. ‘Attitude’ atau pembawaan diri itulah menjadi identiti kepada seseorang ikon atau dewa.
Bercakap pasal identiti, saya berada pada zaman rock melanda ibu pertiwi kita ini. Jika orang kata zaman pop yeh-yeh 60-an itu besar, saya belum lahir lagi maka saya tidak tahu. Zaman rock saya ada, saya tahu betapa meriahnya kaki lima depan kedai jual kaset dengan mat dan minah rock. Saya nampak anak-anak muda turun ke pekan pada hujung minggu dengan lengkap berpakaian rock, siap aksesorinya. Penyanyi rock menjadi ‘trendsetter’ kepada fesyen juga. Itulah karisma.
Karisma memainkan peranan yang besar. Ada penyanyi yang suaranya bagus tetapi tidak mempunyai aura. Sebaik sahaja melangkah ke pentas, ada individu tertentu yang terus menguasai perhatian penonton walaupun hanya berdiri diam. Amy, Awie dan Mael ada ‘barang’ ini. Atas pentas tak kira pop atau rock, aura lebih penting daripada kesempurnaan teknikal. Suara Amy sudah tak macam dulu, Awie pun pernah suatu ketika menghadapi masalah suara di pentas dan Mael selalu ‘pancit’ tetapi sorakan semangat penonton kepada mereka lain macam. Itulah datangnya istilah dewa atau raja (orang kita marah kalau sebut ‘god’). Penonton datang bukan sekadar mahu mendengar lagu. Mereka mahu melihat dewa yang mewakili mereka.
Dari karisma muncul satu lagi elemen penting iaitu tahan lama (longevity). Bukan mudah untuk kekal relevan selama puluhan tahun. Industri hiburan sentiasa berubah. Selera generasi juga berubah. Ada artis yang meledak beberapa tahun kemudian tenggelam. Ada pula yang berjaya bertahan merentasi dekad. Bayangkan berapa banyak album rock, berapa sahaja band yang kita ingat? Ke mana perginya yang lain dan mengapa mereka ghaib sehingga kita tak dengar lagi tentang mereka? Kemampuan merentas generasi inilah yang sering membezakan legenda dengan artis popular biasa. Apabila anak muda yang lahir selepas era kegemilangan rock masih mengenali lagu-lagu sesebuah band itu, ia menunjukkan band itu berpengaruh. Karya mereka tidak lagi terikat kepada satu zaman dan mereka akan menjadi ‘lejen’. Amy, Awie, Mael atau Mus telah melepasi syarat ini.
Menariknya, perdebatan tentang Raja Rock juga membuka satu lagi persoalan besar seperti hujah Jo Branko tadi. Adakah gelaran itu sebenarnya milik seorang individu atau sebuah band? Ada pandangan yang mengatakan seorang ‘frontman’ layak diangkat sebagai Raja Rock kerana dialah yang membawa band naik. Penonton biasanya mengingati suara dan figura penyanyi di atas pentas. Mereka menjerit nama penyanyi, bukan nama barisan pemuzik walaupun pemuzik juga ‘menyanyi’ dengan alat muzik mereka. Tetapi tanpa bunyi tersendiri, mana mungkin mereka boleh menjadi sebuah band beridentiti. Inilah maksud Jo Branko.
Ahli band ialah sekumpulan manusia — vokalis, gitaris, pemain drum, pemain bass yang bersama-sama mencipta identiti dan bunyi kerja-kerja mereka. Band adalah tentang tenaga kolektif kumpulan itu, bukan seorang individu semata-mata. Tetapi, liputan media dipengaruhi oleh elemen pop. Muzik pop lebih berpusat kepada individu. Secara tak sedar, publisiti terhadap sesebuah kumpulan atau band sama seperti memberi publisiti kepada penyanyi pop. Maka, penyanyi band lebih diberi keutamaan menghiasi muka depan majalah serta surat khabar. Jarang kita nampak pemain bass atau drum berposing di tepi kolam renang bersama artis wanita yang sedang popular pada waktu yang sama. Pemain keyboard hendak bertunang dengam siapa pun, media peduli apa. Vokalis lain. Vokalis bela kucing Siam pun mesti dijadikan bahan berita.
Di Malaysia kita boleh lihat, penyanyi kumpulan masih boleh muncul menyanyi secara solo di program konsert ‘menyanyi ramai-ramai’ atau karnival tetapi membawa lagu daripada kumpulannya. Akhirnya, hal ini menjadi hal biasa walaupun Mus (pemain gitar kumpulan Satira) pernah berkata di sebuah podcast, band mereka tidak ada ‘minus one’ iaitu muzik tanpa vokal untuk dinyanyikan oleh penyanyi mereka di pentas tanpa anggota band. Bagi Mus, muzik yang mengiringi vokal itu adalah karya pemuzik yang harus diiktiraf sama.
Jadi, apabila kita bercakap tentang Raja Rock Malaysia, persoalannya menjadi lebih kompleks. Adakah kita mahu menobatkan individu yang paling ikonik, atau kumpulan yang paling membentuk imaginasi rock negara ini? Letak tepi dulu perbincangan tentang asal-usul rock yang lahir daripada suara protes di Barat. Di Malaysia, rock lahir melalui muzik dan fesyen dan bukannya protes terhadap penindasan atau ketidakadilan. Awal 90-an dulu, dua calon Raja Rock kita pun pernah tewas di tangan seorang pak menteri tua yang memotong rambut mereka secara langsung di kaca televisyen. Tiada protes besar-besaran berlaku. Malah, dua ikon itu adalah susuk terakhir yang dipotong rambut manakala band-band rock lain telah menyerah diri lebih awal. Nak buat macam mana, cari makan ye tak?
Mungkin kerana konteks masyarakat kita berbeza. Mungkin industri hiburan ketika itu terlalu kecil dan tidak memberi ruang dan kita tiada sejarah rujukan berlawan dengan kuasa. Atau mungkin juga rockers sendiri sekadar mahu menjadi penghibur, bukan aktivis budaya atau pejuang generasi.
Namun, sejarah itu tetap penting apabila kita berbincang tentang siapa yang layak digelar Raja Rock Malaysia. Kerana gelaran itu bukan sekadar soal vokal atau aura pentas. Ia juga soal sejauh mana seseorang benar-benar membawa semangat rock itu sendiri. Berani dan lantang, sekeras muzik mereka. Saya hampa!
Hari ini zaman telah jauh berubah meninggalkan kita. Generasi lama melihat rock sebagai gerakan semangat jalanan, memecah monopoli muzik lembut dan berentak perlahan kepada bunyi yang lebih keras dan lirik yang lari dari permasalahan kecewa bercinta (meskipun band-band rock popular ini pun naik dengan lagu cinta perlahan). Rock adalah memori tentang rambut panjang, jaket kulit, boot, konsert di stadium yang masih selamat bawa rokok dan pemetik api, serta melepak di kompleks beli-belah. Generasi baharu melihat rock sebagai warisan budaya pak cik-mak cik yang asyik bernostalgia dan belum ‘move on’.
Bagi saya, tak perlu kita beri gelaran siapa raja siapa bukan. Semua nama yang menghiburkan kita masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan mereka hadir memberi ‘khidmat’ kepada kita dalam bentuk hiburan. Itu profesi mereka. Kita hargai perkhidmatan mereka sebagaimana kita hargai profesi lain yang pernah berkhidmat kepada kita seperti cikgu, doktor, guru agama, tukang masak, tukang angkut sampah dan sebagainya. Kita saling memerlukan.
Mengapa tak perlu ada gelaran Raja Rock? Sebab ceritanya takkan habis. Sebab selain gelaran Raja Rock, peminat muzik genre tersebut juga memberi gelaran kepada dua beradik pemain gitar kumpulan Search iaitu Nordin Taib sebagai King of Rhythm dan Kid (Hamzah Taib) pula sebagai King of Tremolo. Habis, bagaimana dengan yang lain? Hillary Ang, Man Kidal, Jo Branko atau Izo? Berapa banyak ‘raja’ kita perlu ada, beb? Kita layan kepala saja sudahlah. Lu jangan itu macam, brader. Tapi apa pun, wa tetap caya sama lu! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.