`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 5, 2026

Langkawi terima 3.2 juta pelancong tetapi masih ketinggalan, kata Kok

 Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata, perbandingan dengan pesaing serantau dedah 'realiti pahit'.

langkawi
Ketibaan pelancong di Langkawi meningkat hanya 311,101 dari 2024 hingga 2025, menurut Teresa Kok. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
 Langkawi semakin ketinggalan di belakang pesaing serantau walaupun merekodkan 3.2 juta ketibaan pelancong tahun lepas, kata Teresa Kok, menyifatkan kekurangan itu berpunca daripada tadbir urus kerajaan negeri yang lemah.

Menurut Ahli Parlimen DAP Seputeh itu, Phuket mencatat sekitar 12.74 juta pelancong antara Januari dan November 2025, manakala Bali menarik 33.56 juta pelancong tahun lepas.

Kok turut menggariskan perbezaan pertumbuhan tersebut, di mana ketibaan pelancong ke Bali meningkat 17.16 juta dari 2024 hingga 2025, sementara Phuket mencatatkan kenaikan sebanyak 4.35 juta.

Sebaliknya, katanya, angka bagi Langkawi hanya bertambah 311,101 dalam tempoh yang sama.

“Melihat kepada angka tersebut secara terasing mungkin nampak positif, namun apabila dibandingkan dengan pesaing serantau, ia mendedahkan satu realiti pahit.

“Langkawi kini sedang tewas dalam persaingan pelancongan Asean akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Kedah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa agensi persekutuan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) patut dipertanggungjawabkan atas prestasi pelancongan pulau itu.

Kok menegaskan, Langkawi berada di bawah bidang kuasa Kedah dan mempersoalkan sama ada kerajaan negeri sudah cukup berusaha mempromosikan pulau berkenaan.

Beliau juga mengkritik kerajaan Kedah pimpinan PAS kerana menentang kegiatan ekonomi tertentu atas alasan moral, memberi amaran bahawa pendirian sedemikian boleh menyekat pertumbuhan industri pelancongan.

Kok merujuk kepada acara berskala besar seperti Pesta Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang, yang dilaporkan menarik 180,000 pengunjung dan menjana kegiatan ekonomi sekitar RM200 juta, sebagai contoh inisiatif yang boleh memberi manfaat kepada Langkawi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.