`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 19, 2026

Zara Qairina dakwa pernah diganggu pelajar ‘tomboy’ di asrama

 Ibu saudaranya berkata, perkara itu diceritakan sendiri oleh remaja itu kepadanya ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri tahun lepas.

zara qairina
Zara Qairina Mahathir, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya. (Facebook pic)
KOTA KINABALU:
Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir pernah mendakwa diganggu oleh seorang pelajar berperwatakan ‘tomboy’ ketika di asrama.

Ibu saudaranya, Nur Shira Abdullah, 46, yang juga saksi ke-71 dalam inkues kematian remaja itu berkata, perkara itu diceritakan sendiri oleh Zara Qairina kepadanya ketika dia pulang bercuti sempena Aidilfitri tahun lepas.

Nur Shira berkata, Zara Qairina memaklumkan gangguan itu diketahuinya berdasarkan cerita rakan sebilik, selain mendakwa pernah berdepan beberapa situasi lain yang membuatkannya berasa tidak selesa sepanjang berada di asrama.

“Semasa Zara menceritakan perkara tersebut kepada kami, anak saya secara tidak sengaja merakam penceritaannya,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi turut memberitahu mahkamah, Zara Qairina pernah mengadu diarahkan turun ke tingkat bawah asrama kira-kira 1 hingga 2 pagi untuk mengambil air panas dari penapis air, sedangkan mangsa berada di tingkat tiga.

Selain itu, katanya, mangsa pernah memaklumkan wang miliknya hilang dan dipercayai dicuri.

Nur Shira berkata, sepanjang pengetahuannya, perkara yang sering diceritakan Zara Qairina lebih berkait dengan kehidupan di sekolah dan asrama serta hubungannya dengan rakan-rakan, bukan masalah keluarga.

“Zara tidak pernah menyatakan bahawa beliau tidak disayangi atau takut kepada ibunya,” katanya.

“Pada pemerhatian saya, Zara berkongsi perkara-perkara tersebut sebagai sesuatu membuat dia tidak selesa, namun dia masih mampu bercerita seperti biasa.”

Saksi turut mendakwa Zara Qairina pernah memaklumkan bahawa dia ada membuat aduan kepada warden, namun aduannya tidak dipercayai.

Menyentuh isu penolakan bedah siasat, saksi menafikan keluarga membuat keputusan melulu, sebaliknya doktor di bilik forensik hanya mengarahkannya menandatangani borang tanpa penjelasan terperinci.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya mereka membincangkan isu bedah siasat di kawasan awam, menegaskan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat hanya menyuarakannya sekali di dalam wad tanpa kehadiran pelawat lain.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini mengarahkan prosiding inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Inkues bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.