`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Saturday, June 27, 2026

Bentuk sahsiah, hukuman semata tak cukup ubah ‘mat rempit’

 Pakar keselamatan jalan raya berkata isu mat rempit bukan sekadar masalah penguatkuasaan tetapi membabitkan faktor sosial, budaya dan tingkah laku.

rempit
Pakar berkata usaha menangani masalah ‘mat rempit’ memerlukan pembabitan seluruh masyarakat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendekatan berbentuk pemulihan dan pembangunan sahsiah perlu diberi perhatian dalam usaha menangani masalah ‘mat rempit’ kerana hukuman semata-mata tidak cukup untuk mengubah tingkah laku mereka, kata pakar.

Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri, berkata isu ‘mat rempit’ bukan sekadar masalah penguatkuasaan tetapi membabitkan faktor sosial, budaya dan tingkah laku.

Katanya, pelbagai operasi, denda, penyitaan motosikal dan tindakan mahkamah dilaksanakan selama bertahun namun kegiatan lumba haram masih berterusan.

“Ini menunjukkan langkah berbentuk hukuman semata-mata mungkin tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku mereka.

“Golongan ini memerlukan bimbingan, mentor dan peluang untuk menyalurkan tenaga serta minat mereka kepada aktiviti lebih positif berbanding perlumbaan haram,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin saran individu terlibat lumba haram mengikuti kursus khas bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain dikenakan denda yang dicadangkan menerusi Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Jamil berkata, program seperti PLKN boleh membantu membentuk disiplin, tanggungjawab, kepimpinan dan rasa hormat terhadap undang-undang dalam kalangan peserta.

“Matlamatnya bukan sekadar menghukum tetapi mengubah sikap dan tingkah laku. Jika kita berjaya memulihkan mereka menjadi pengguna jalan raya bertanggungjawab, manfaat kepada masyarakat jauh lebih besar berbanding hukuman semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha dan Ketua Program Pembangunan Keselamatan Jalan Raya (Belia), Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Karamjit Singh, berkata usaha menangani masalah tersebut memerlukan pembabitan seluruh masyarakat.

Katanya, ibu bapa, sekolah, majikan, institusi agama dan komuniti setempat berperanan penting dalam membentuk budaya keselamatan jalan raya.

“Pendidikan keselamatan jalan raya perlu bermula dari rumah kerana ibu bapa adalah contoh paling awal kepada anak-anak. Komuniti juga tidak boleh berdiam diri apabila melihat aktiviti lumba haram kerana tindakan awal boleh membantu mengelakkan tragedi,” katanya.

Katanya, ia tidak boleh diselesaikan oleh agensi penguatkuasaan sahaja kerana perubahan tingkah laku memerlukan penglibatan semua pihak.

“Keselamatan jalan raya bukan sekadar isu pengangkutan tetapi mencerminkan nilai, disiplin dan tanggungjawab sesebuah masyarakat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.