`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, June 26, 2026

Kastam rampas server cip AI hampir RM53 juta di KLIA

 Server diikrarkan sebagai komponen komputer elak dikesan pihak berkuasa.

Zulkifli Muhammad
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad (tengah) tunjuk gambar server mengandungi cip AI canggih ketika sidang media di Kompleks Kastam Kargo, KLIA, hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Jabatan Kastam merampas 72 unit pelayan (server) mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) canggih dianggarkan bernilai RM52.9 juta di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini kerana disyaki melanggar Akta Perdagangan Strategik 2010.

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam KLIA di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA kira-kira 4.30 petang pada 5 Jun lepas.

“Hasil siasatan awal mendapati server itu akan dieksport semula ke sebuah negara di Asia. Server itu diikrarkan sebagai komponen komputer bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sindiket terlibat juga dipercayai menggunakan Malaysia sebagai destinasi transit bagi memastikan tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke destinasi negara seterusnya.

Zulkifli berkata, semua server berkenaan disita bagi siasatan lanjut kerana disyaki tertakluk kepada transaksi melibatkan barangan tidak tersenarai dan kegiatan terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Berdasarkan arahan Sekretariat Perdagangan Strategik (STS), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mana-mana pihak yang berhasrat mengeksport, memindah kapal atau membawa masuk sebagai transit cip AI canggih perlu memaklumkan kepada STS sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal sekiranya mengetahui atau mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki cip berkenaan digunakan bagi kegiatan terhad.

Beliau berkata, syarikat pengendali penghantaran barang dagangan yang terlibat dipanggil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

Dalam kes berasingan, Zulkifli berkata, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 4,760 kartrij cecair rokok elektronik atau vape yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.19 juta pada 10 Jun lepas, dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara jiran.

“Sindiket mengikrarkan dagangan itu sebagai alat ganti komputer bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kartrij rokok elektronik itu disembunyikan di dalam casing komputer sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan kargo,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat kerana pengirim disyaki menggunakan alamat palsu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan setakat ini tiga individu daripada syarikat penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.