`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 28, 2017

Doktor terpotong zakar kanak-kanak semasa berkhatan didakwa

Tertuduh mengaku tidak bersalah secara cuai mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa dan menjalankan klinik perubatan yang tidak berdaftar.
doctor_law_6001
KAJANG: Seorang doktor yang dikaitkan dengan kes terpotong bahagian kepala zakar seorang kanak-kanak lelaki ketika melakukan proses berkhatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas 3 pertuduhan, termasuk mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, tahun lepas.
Dr Azahari Hashim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Bagi pertuduhan pertama, Dr Azahari didakwa secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bapa 4 anak itu juga dituduh menjalankan klinik perubatan swasta yang tidak berdaftar mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga 6 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa tidak mempunyai Sijil Amalan Perubatan yang sah mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di No.6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, pada 8.15 malam, 20 Disember 2016.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Al Sabri Ahmad Kabri memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai 4 orang anak yang masih bersekolah.
“Semenjak klinik seliaannya ditutup selepas kes tersebut berlaku, beliau tidak mempunyai pendapatan yang tetap,” katanya.
Mahkamah membenar tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 26 Januari untuk sebutan kes. Adik lelaki tertuduh membayar wang jaminan itu.
Media sebelum ini melaporkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai terpotong bahagian kepala kemaluannya semasa proses berkhatan menggunakan kaedah laser. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.