`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 15, 2018

Bekas guru agama dituduh cabul 10 murid lelaki

Mohd Farid Yusof mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Bekas guru itu didakwa atas 2 pertuduhan merangsang 2 murid berusia 10 dan 11 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau. (Gambar AFP)
KAJANG: Seorang bekas guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan merangsang dan 18 pertuduhan mencabul 10 murid lelakinya sejak Februari 2014 sehingga April 2017.
Mohd Farid Yusof, 31, bekas guru Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah rendah agama integrasi mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Lelaki itu didakwa atas 2 pertuduhan merangsang 2 murid berusia 10 dan 11 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di bilik guru lelaki sekolah rendah agama integrasi di Bangi, masing-masing pada September 2015 dan November 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Mohd Farid yang kini bekerja sendiri turut didakwa atas 18 pertuduhan melakukan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan 10 murid berusia antara 9 dan 12 tahun termasuk seorang daripada mangsa yang dirangsang itu.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan 3 buah bilik darjah, di sekolah itu antara Februari 2014 dan April 2017 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana 2 daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan wang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira kes tersebut membabitkan 10 mangsa yang merupakan kanak-kanak manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin yang terdiri dari anggota keluarga berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kesemua mangsa dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.
Terdahulu tertuduh yang hadir ke mahkamah ditemani seorang lelaki menutup mukanya dengan tangan dan menundukkan kepalanya sepanjang masa ketika berada di luar bilik bicara sehingga dia dipanggil masuk untuk prosiding pendakwaan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.