Brig Jen (B) Arshad Raji berkata Mohamad Sabu mesti diajar kakitangan yang pandai, manakala pakar Faisol Keling berkata dia akan dibantu struktur pentadbiran tentera.
PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan berkata pelantikan orang awam tanpa latar belakang ketenteraan seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan tidak menjadi masalah asalkan menerima tunjuk ajar daripada kakitangan yang pandai.
Presiden Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji yakin Mohamad Sabu mampu menggalas tugas penting itu sekiranya diberi masa untuk belajar.
“Dia perlu menerima tunjuk ajar disebabkan jawatan penting. Saya rasa dia boleh belajar, yang pentingnya kakitangan mesti pandai-pandai jangan cari yang tak pandai,” katanya kepada FMT.
Aktivis politik Islam dan Presiden Amanah itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk portfolio pertahanan pada sidang media semalam.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini pernah mencetuskan kontroversi pada 2011 apabila mengatakan Muhammad Indera dan 200 askar Parti Komunis Malaya yang terbunuh dalam serangan Bukit Kepong 1950 layak digelar wira negara.
“Dia mesti belajar,” kata Arshad tentang kemampuan Mohamad menggalas tanggungjawab berat ini.
Sementara itu, pakar keselamatan, Prof Madya Mohamad Faisol Keling dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata kerajaan dan tentera mempunyai cara untuk membantu Mohamad menerajui Kementerian Pertahanan.
Beliau berkata Mohamad akan diberi penasihat ketenteraan seperti mana menteri terdahulu.
“Dalam masa yang sama beliau turut dibantu oleh panglima angkatan tentera, panglima tentera darat, panglima tentera laut dan panglima tentera udara, dan ketua setiausaha kementerian,” katanya.
Faisol berkata struktur pentadbiran sedia ada akan membantu beliau mentadbir seperti mana menteri-menteri sebelumnya.
Antara isu-isu berkaitan tentera yang berbangkit sebelum ini ialah penentuan kadar pencen tentera terdahulu dengan sekarang serta tuntutan kos perubatan sampingan bagi tentera berpencen dan tidak berpencen.
Kelab Veteran Komando Malaysia mencadangkan semakan pencen bagi merapatkan jurang antara anggota dulu dan sekarang, kembalikan permohonan segala perihal perubatan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, dan meneruskan Bantuan Bakti Negara sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran tidak berpencen yang diperkenalkan pentadbiran terdahulu.
“Kita juga meminta kerajaan baharu dapat merealisasikan pemberian tanah dan lot tapak rumah kepada veteran sebagaimana termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973,” kata Presiden Sani Osman lapor Bernama.
Di peringkat antarabangsa, Amanah pernah mempersoalkan pembabitan Malaysia dalam operasi yang diterajui Arab Saudi di Yemen, dan ketegangan di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan melibatkan Republik Rakyat China dan 3 negara lain. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.