KOTA KINABALU, 28 Mei — Seluruh keluarga Datuk Seri Musa Aman bimbang “kehilangan” beliau dan isterinya sejak dilihat pada 14 Mei lalu.
Mereka menunggu khabar darinya dan Puan Sri Faridah Tussin setelah 13 hari tidak muncul, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara.
Anaknya Yamani berkata kali terakhir beliau berjumpa bapanya pada 28 April lalu, ketika penamaan calon Barisan Nasional di bangunan Umno di sini, lapor Kosmo!.
“Sejak itu saya belum bertemu dan berkomunikasi dengan ayah,” kata ahli parlimen Sipitang, yang menang pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Kami adik-beradik dan ahli keluarga di sini juga menanti khabar berita daripada ayah dan ibu kami,” katanya, yang juga ketua Pemuda Umno Sabah.
Sementara adik Musa, Anifah Aman turut menyuarakan berasa bimbang khususnya kesihatan abangnya, selaku wakil rakyat Sungai Sibuga.
“Di mana Musa ketika ini, saya pun tidak tahu tetapi yang paling membimbangkan sekiranya beliau tidak sihat,” kata ahli parlimen Kimanis kelmarin.
“Saya berharap beliau pulang menyambut lebaran bersama keluarga.”
Rumah bekas ketua menteri Sabah itu di Luyang di sini, juga dilapor sepi.
Sementara itu, pengarah imigresen Datuk Seri Mustafar Ali memaklumkan tiada sebarang rekod menunjukkan Musa keluar negara selepas 10 April lalu.
Katanya, kali terakhir Musa dikesan ke luar negara pada tarikh tersebut melalui lapangan terbang di Subang menggunakan pasport diplomatik.
“Jika Musa ke luar negara tanpa melalui pintu yang diwartakan, ia merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 5 Akta Imigresen,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.