`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 22, 2018

Siasatan adil, tetapi Anwar nasihat Najib cari peguam bagus

Ketua umum PKR itu meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
VIDEO INSIDE
Anwar (tengah) berbuka puasa dengan BJ Habibie (kanan) di rumah bekas presiden Indonesia itu di Jakarta, hari ini. (Gambar Facebook)
JAKARTA: Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd akan dilakukan secara adil dan bebas.
Beliau meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
“Kepada beliau (Najib) nasihat saya, cari peguam bela yang baik,” kata Anwar selepas mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie sempena sambutan 20 tahun Reformasi Indonesia, hari ini.
Anwar yang mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas, berharap apa jua siasatan terhadap Najib dilakukan secara adil dan bebas.

Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Anwar, 71, menjalani hukuman 5 tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata, Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya Selasa ini bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International Sdn Bhd.
SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.
Mengenai pertemuan dengan presiden Indonesia ke-3, Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie yang berlangsung hampir 3 jam di kediamannya di Jalan Patra Kuningan, Jakarta, Anwar berkata pertemuan itu atas undangan BJ Habibie, sempena sambutan ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.
Anwar berkata, 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia dan tarikh 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Habibie.
Sementara itu, 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional yang akhirnya selesai hampir 2 dekad kemudian pada 9 Mei 2018, katanya.
Anwar berkata, pertemuan dan perbincangan dengan BJ Habibie akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara serta memperkukuhkan iltizam melaksanakan agenda reformasi di Malaysia.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan agenda lebih spesifik, antaranya mengukuhkan lagi badan kehakiman, kebebasan media lebih adil dan program pembasmian kemiskinan lebih tersusun. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.