Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran UMNO. Jika sebelum ini ketibaan tarikh 11 Mei disambut dengan penuh meriah, suasana kali ini sudah jauh berbeza.
Untuk tahun ini, buat pertama kali UMNO meraikan ulangtahun kelahirannya dalam keadaan ia sudah kehilangan kuasa dan Najib Razak selaku Presiden UMNO bukan lagi sebagai Perdana Menteri.
UMNO yang menunjangi BN telah kalah pada pilihanraya 9 Mei lalu kepada Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad. Ia adalah kekalahan pertama setelah lebih 60 tahun berkuasa.
Lebih daripada itu, mengikut ukuran perlembagaannya sendiri, UMNO juga sebenarnya adalah pertubuhan yang haram. Ini kerana di ketika perlembagaan UMNO memperuntukan pemilihan mesti diadakan setiap tiga tahun sekali dan jika ada lanjutan masa, ia tidak boleh melebihi 18 bulan selepas pemilihan terakhir pada 2013, tempoh itu sudah tamat pada 19 April yang lalu.
Tetapi, oleh kerana Pendaftar Pertubuhan atau ROS lebih merupakan alat kepada UMNO berbanding peranannya sebagai agensi kerajaan, lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan telah diberikan sehingga 19 April 2019.
Dengan yang demikian, UMNO sebenarnya telah melanjutkan tempoh pemilihan sehingga 30 bulan, meskipun perlembagaannya sendiri memperuntukkan lanjutan masa yang dibenarkan hanya selama 18 bulan saja.
Oleh itu, bukankah UMNO telah terharam dengan sendirinya?
Memandangkan Pakatan Harapan kini sudah menguasai kerajaan, pendirian ROS mengenai status UMNO tidak mustahil akan berubah kerana agensi itu tidak lagi terikat dengan UMNO. UMNO juga tidak boleh lagi memperalatkan ROS.
Maka itu, pengisytiharan UMNO sebagai pertubuhan yang haram oleh ROS kerana gagal mematuhi perlembagaannya adalah sesuatu yang tidak mengejutkan akan berlaku dalam waktu terdekat ini.
Andai itu terjadi, dalam keadaan ia sudah kehilangan kuasa, siapakah yang sedia memulihkan semula UMNO?
Berdepan dua situasi itu – sudah hilang kuasa dan berstatus haram – persoalan yang menjadi bualan di kalangan ahli-ahli UMNO ialah apakah parti itu masih mampu bertahan atau akan berkubur?
Ada pihak merasakan UMNO akan berkubur selepas ini kerana para pemimpinnya tidak biasa hidup tanpa kuasa. Pemimpin UMNO adalah mereka yang sentiasa hidup dengan wang dan memburu kuasa, malah untuk meramaikan majlis-majlis pun mereka perlukan wang untuk membayar duit makan serta elaun kehadiran.
Pejuang-pejuang media sosial UMNO juga hanya bergerak dan rajin melakukan kerja jika diberikan ganjaran atau wang bulanan. Tanpa elaun, mereka lebih rela menggunakan telefon bimbit untuk menonton youtube atau sebagai alat hiburan diri semata-mata. Tiada lagi perjuangan dan keikhlasan di hati mereka.
Dengan itu, dijangkakan ramai yang akan keluar UMNO sedikit demi sedikit untuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan tidak lama lagi. Kecenderungan itu sudah mula kelihatan sekarang ini.
Jika ini berterusan berlaku, UMNO akan terus mengecil, tidak diminati dan akan lenyap dengan sendirinya. Ia tambah mungkin jika Pakatan Harapan semakin kuat dan kian berkembang sehingga peluang untuk UMNO mengalahkannya dalam pilihanraya menjadi semakin mustahil.
Tambahan lagi dengan Tun Mahathir dan selepas ini Anwar Ibrahim pula akan menduduki kerusi Perdana Menteri serta sederetan pemimpin lain yang disukai rakyat seperti Azmin Ali, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Syed Saddiq dan sebagainya berada dalam Pakatan Harapan, UMNO bersama bekas-bekas menteri yang ada sekarang sebagai pemimpinnya tidak lebih hanyalah sebuah parti yang kering, tandus serta kontang.
Jika keadaan itu disusuli dengan satu demi satu parti komponen meninggalkan BN dan memisahkan diri mereka, nasib UMNO akan bertambah buruk lagi.
Bagaimanapun, di satu pihak lain merasakan UMNO masih mampu dipulihkan dengan syarat Najib, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin utamanya dibuang dengan segera.
Kata mereka, jika semua pemimpin itu tiada, terutamanya Najib yang terpalit dengan banyak skandal, UMNO masih mampu menambat hati rakyat dan jiwa orang-orang Melayu terhadapnya.
Lantaran itu, hanya dua hari setelah UMNO kehilangan kuasa dan di hari sambutan ulangtahun kelahirannya yang ke-72 hari ini, sudah mula kedengaran suara dan desakan agar Najib mengundurkan diri dengan segera.
Semakin ramai yang tidak mahu lagi berketuakan Najib. Sebenarnya bukan saja Najib harus dibuang jika mahu memulihkan parti itu, tetapi juga seluruh pimpinannya yang ada sekarang. Semua yang ada sekarang sudah kotor dan rosak imejnya di mata rakyat.
Untuk kembali diyakini rakyat, UMNO harus dipimpin oleh generasi baru yang bersih dan tidak pernah terpalit dengan apa-apa kekotoran. Tetapi, sementara menunggu pemimpin tersebut muncul dan boleh menzahirkan bakat kepimpinan mereka, Pakatan Harapan lebih berkemungkinan terus menerajui negara ini.
Melihat kepada deretan pemimpin pelapis yang ada dalam Pakatan Harapan, UMNO barangkali hanya berpeluang dipulihkan semula selepas era kepimpinan Nurul Izzah atau Syed Saddiq menerajui negara ini.
Adakah itu terlalu lama bagi UMNO?
Jika itu terlalu lama, pilihan yang ada ialah biarkan saja UMNO mati dan ahli-ahli segera berhijrah menyertai Bersatu atau mana-mana parti yang lain dalam Pakatan Harapan.
– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.