`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 8, 2018

Adakah Musa akan hadir persidangan khas DUN Sabah?

Persoalan berlegar dalam kalangan pemerhati dan juga rakyat amnya ialah sama ada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman akan hadir pada persidangan itu.
Kali terakhir kelibat pengerusi Umno Sabah dan juga pengerusi BN negeri itu dilihat ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan mengadakan persidangan khas pada Isnin ini yang juga persidangan pertamanya selepas pilihan raya umum ke-14 bulan lepas.
Walaupun agendanya belum dinyatakan secara rasmi, cakap-cakap yang kedengaran menyatakan persidangan tersebut antara lain akan menyaksikan majlis angkat sumpah Adun selain membentangkan usul undi menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.
Melihat pada signifikan persidangan khas ini, persoalan berlegar dalam kalangan pemerhati dan juga rakyat amnya ialah sama ada bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga Adun Sungai Sibuga akan hadir pada persidangan itu.
Ini kerana kali terakhir kelibat pengerusi Umno Sabah dan juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu dilihat ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dipercayai untuk berlepas ke Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu.
Sehingga kini Musa gagal dikesan.
Peguam mewakili beliau tidak memberi sebarang respons apabila ditanya mengenai keberadaan Musa sementara beberapa bekas pegawai Musa termasuk setiausaha akhbarnya, ketika dihubungi menyatakan tidak tahu di mana beliau berada.
Tinjauan Bernama di sebuah kediaman Musa di sini juga mendapati pintu pagar rumah itu tertutup rapat.
Pihak berkuasa juga seolah-olah gagal mengesan Musa dengan yang terkini Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Musa mungkin berada di Brunei atau menggunakan Brunei sebagai pintu keluar ke negara lain yang tidak disebutkan.
Misteri “kehilangan” Musa di bumi Sabah menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk mengaitkannya dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam mendapatkan majoriti mudah untuk membolehkan Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei lepas.
Ada juga yang cuba mengaitkan kehilangan Musa itu dengan siasatan polis selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis mendakwa menerima ugutan jenayah berkaitan pelantikan ketua menteri Sabah.
Bagaimanapun Musa dalam satu kenyataan melalui peguamnya Zahir Shah pada 24 Mei menafikan dakwaan beliau melakukan ugutan jenayah terhadap Tun Juhar dan ini disusuli satu lagi kenyataan pada 26 Mei yang menyatakan beliau akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan agensi tersebut.
Pada 1 Jun lalu, Musa sekali lagi melalui peguamnya Zahir Shah, mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan beliau melakukan perjalanan haram selepas Jabatan Imigresen Malaysia mengatakan agensi itu tiada rekod menunjukkan Musa meninggalkan Malaysia.
Musa dalam kenyataan 1 Jun itu menegaskan semua proses perjalanannya (tidak dinyatakan dari mana dan ke mana) dilakukan mengikut peraturan Jabatan Imigresen.
Peguam mewakili Musa dalam kenyataan itu juga menjelaskan anak guamnya sedang menjalani rawatan yang sudah lama tertangguh namun tidak dinyatakan di mana rawatan itu dibuat.
Menurut peguam itu lagi Musa akan segera kembali sebaik sahaja rawatan kesihatannya selesai dan doktor pakar yang merawatnya berpuas hati dengan tahap kesihatannya.
Musa menegaskan, beliau sentiasa bersedia memberi kerjasama dan akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya siasatan dijalankan secara adil dan berdasarkan undang-undang.
Justeru, melihat pada kepentingan persidangan khas DUN Sabah Isnin ini dan juga peranan Musa selaku pemimpin tertinggi BN negeri, pastinya ramai tertunggu-tunggu sama ada bekas ketua menteri Sabah itu membuat kemunculan atau kekal “bersembunyi”. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.