`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 22, 2018

Bagaimana pula penebar roti canai, restoran mamak tanya kerajaan

Persatuan berkata tempoh masa 6 bulan tidak mencukupi, sementara seorang pengusaha nasi kandar khuatir ia akan menjejaskan restoran yang mempunyai rantaian perniagaan.
Ayub Khan berkata sukar untuk menukar kakitangan dapur dan melatih mereka dalam tempoh masa yang singkat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) menggesa kerajaan mengkaji semula arahan mewajibkan tukang masak tempatan, kerana kesukaran mematuhi tempoh masa 6 bulan yang dikatakan singkat.
Presiden Ayub Khan menyokong hasrat mendahulukan pekerja tempatan, tetapi sukar untuk pengusaha restoran menukar kakitangan dapur dan melatih mereka dalam tempoh masa itu.
Ayub Khan.
“Penebar roti canai juga tukang masak, tukang bancuh air juga tukang masak, banyak perlu dipelajari dan 6 bulan tidak cukup masa,” katanya.
“Tidak dinafikan kita mahukan pekerja tempatan untuk bidang ini tetapi tidak boleh buat secepat mungkin,” tambahnya.
Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan bermula 1 Januari, pengusaha restoran hanya boleh mengambil orang tempatan sebagai tukang masak, dan restoran digesa mengambil tukang masak tempatan bermula 1 Julai ini.
Pengusaha restoran diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi peraturan itu.
Ayub khuatir keputusan menteri boleh menyebabkan restoran yang bergantung kepada sentuhan asli masakan dari negara-negara tertentu hilang daya tarikannya.
“Memang rasa asli masakan akan lari. Kita minum teh tarik di hotel dengan harga RM10 segelas, masih tidak boleh lawan dengan teh tarik di restoran mamak,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha restoran nasi kandar, Noorul Hassan Saul merasakan kerajaan terburu-buru memperkenalkan dasar tukang masak tempatan.
“Menteri ingat kerja ini senang? Dia tidak tahu masalah yang kita hadapi, cakap senang tetapi hakikatnya bukan senang hendak buat.
“Menteri ini baru setahun jagung, sebulan datang ambil alih. Saya ikhlas mahu beritahu, menteri masih belum memahami secara sepenuhnya akan masalah pekerja asing,” katanya.
Bekas presiden Presma ini khuatir dasar kerajaan ini akan menjejaskan pengusaha restoran yang mempunyai rantaian perniagaan.
“Bila ini berlaku, banyak industri juga turut terjejas seperti industri perniagaan ikan, ayam, sayur-sayuran dan barangan runcit.
“Semua itu perniagaan orang tempatan. Ia akan terjejas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.