`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 27, 2018

Kerajaan Kedah kaji semula pengecualian caj 20m padu air

Mukhriz berkata kajian itu perlu dilakukan selepas kerajaan negeri mendapati terdapat beberapa masalah berkaitan janji dibuat pentadbiran kerajaan BN.
VIDEO INSIDE
Mukhriz berkata antara masalah ialah pengecualian tersebut akan melibatkan 221,000 pengguna domestik dengan bil bulanan tidak melebihi RM10.
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan menjalankan kajian semula ke atas pelaksanaan pengecualian caj bekalan air kepada pengguna di negeri itu bagi penggunaan maksimum 20m padu sebulan.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kajian itu perlu dilakukan selepas kerajaan negeri mendapati terdapat beberapa masalah berkait dengan janji dibuat pentadbiran kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).
“Antara masalahnya ialah, pengecualian tersebut akan melibatkan 221,000 pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10. Sedangkan, jumlah penerima bantuan tersebut bukan sebanyak itu kerana ada juga pengguna berpendapatan tinggi menerima manfaat tersebut.
“Sepatutnya, bantuan tersebut diberikan kepada pengguna susah dan berpendapatan rendah supaya menepati sasaran pelaksanaan bantuan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini.
Pada 12 November 2017, menteri besar Kedah ketika itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan pengecualian caj bekalan air kepada pengguna domestik di Kedah dengan syarat penggunaan maksimum 20m padu sebulan bermula Januari 2018.
Mukhriz berkata kerajaan negeri terpaksa menanggung bebanan kewangan apabila perlu menampung kos tanggungan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) secara puratanya berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.
“Setakat ini, pengecualian tersebut masih berjalan dan kita akan lakukan kajian semula dalam tempoh antara 1 hingga 2 minggu ini. Selain itu, kerajaan negeri juga akan menggunakan maklumat dikeluarkan portal pembasmian kemiskinan e-kasih bagi menentukan pengguna yang benar-benar layak menerima bantuan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan daripada Pejabat Hutan negeri berhubung aktiviti pembalakan haram di Ulu Muda.
“Kalau ada kawasan pembalakan pun ia yang dibenarkan tetapi kita akan pantau aktiviti pembalakan dilakukan berdekatan kawasan yang dianggap sensitif iaitu kawasan tadahan air kerana tidak mahu bekalan air terjejas akibat aktiviti tersebut.
“Kita juga mengalu-alukan kenyataan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan persekutuan memberi pampasan kepada Kedah bagi menjamin kelestarian Ulu Muda. Pampasan itu juga dilihat dapat meningkatkan pendapatan hasil negeri,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz yakin proses pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 4 Julai ini akan berlangsung tanpa masalah selepas kerajaan negeri diperintah Pakatan Harapan (PH) Kedah mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang.
“Saya yakin proses pelantikan speaker ini akan berlangsung tanpa masalah walaupun ada komen daripada pemimpin PAS dan Umno yang mengatakan seolah-olah isu tersebut masih belum selesai. Saya juga harap pembangkang terima calon yang dipilih oleh PH negeri,” katanya.
“Berhubung kemungkinan berlaku pilihan raya negeri, saya tidak rasa rakyat berminat kerana penat pilihan raya umum ke-14 (PRU14) masih belum hilang. Tapi kalau terpaksa lakukan PRN juga, kita bersedia,” katanya.
Pada PRU14 pada 9 Mei lepas, PH memenangi 18 kerusi DUN manakala PAS menang 15 kerusi dan Barisan Nasional sebanyak tiga kerusi di Kedah. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.