`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 22, 2018

Kulasegaran: Hanya tukang masak tempatan dibenarkan mulai tahun depan

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, berkata pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka.
Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.
Menterinya M Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka dan peraturan baru itu dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2019.
“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Dis untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” katanya, semalam.
Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya.
Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan PRISMA serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.
Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.
Beliau berkata tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.
Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden Prisma P Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.
“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.
Muthusamy berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.
Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan mahu bekerja di restoran.
“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.