Selepas PBB mengumumkan keluar BN beberapa hari lalu, kini tiga lagi parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak – PRS, PDP dan SUPP – turut mengambil langkah yang sama.
Tindakan empat parti ini secara langsung menjadikan BN Sarawak terbubar dengan sendirinya dan BN Pusat tiada lagi cengkaman di negeri tersebut.
Walaupun empat parti berkenaan memutuskan untuk membentuk gabungan sendiri yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak atau GPS, tetapi mereka berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat yang kini dipimpin Tun Mahathir Mohamad.
Dengan yang demikian, selepas Sabah ditakluk oleh Warisan pada pilihanraya 9 Mei lalu, Sarawak juga bukan lagi dibawah pentadbiran BN.
Di Sabah sebelum ini, tiga parti komponen BN iaitu PBS, PBRS dan UPKO lebih dulu mengumumkan keluar BN sebaik saja Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Putrajaya.
Dalam erti kata lain, BN dengan sendirinya sudah kehilangan kerusi simpanan tetapnya yang selama ini dibanggakan di Sabah dan Sarawak.
Bersama empat parti Sarawak yang meninggalkan BN itu, mereka juga membawa keluar 19 kerusi Parlimen bersamanya.
Selain empat parti di Sarawak dan tiga parti di Sabah, myPPP di Semenanjung juga turut mengumumkan keluar BN.
Perkembangan terbaru ini secara tidak langsung menyebabkan BN jadi semakin mengecil dan dipinggirkan secara perlahan-lahan oleh komponennya sendiri.
Semuanya kerana mereka tidak sanggup lagi berada bersama BN yang sudah tiada kuasa di peringkat persekutuan.
Dalam BN kini hanya tinggal UMNO, MCA, MIC dan Gerakan saja. Itu pun belum dapat dipastikan berapa lama empat parti ini mampu bertahan untuk terus bersama dalam BN.
Ini sekaligus menjadikan BN sebenarnya semakin sukar untuk menghadapi Pakatan Harapan, apatah lagi untuk memungkinkannya kembali berkuasa dalam PRU15 yang dijangka pada 2023 nanti.
Tanpa sokongan Sabah dan Sarawak dan di Semenanjung pula berpecah-pecah, BN boleh dikata hampir tiada harapan langsung untuk mengalahkan Pakatan Harapan.
Dalam hal ini, Tengku Razaleigh Hamzah seharusnya hendaklah berfikir 1000 kali sebelum memutuskan mahu merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pada 30 Jun mendatang ini.
Dalam keadaan BN semakin sukar untuk menang, lebih baik Ku Li lupakan saja hasrat untuk menjadi Presiden UMNO kerana ia hanya membuang masa dan wangnya saja.
Malah jika BN kalah lebih teruk dalam PRU15 nanti, nama Ku Li akan lebih tercemar dan tercatat dengan buruk dalam sejarah negara.
Apa pun, apa yang berlaku kepada UMNO dan BN ini adalah kesalahan mutlak Najib Razak yang merupakan bekas Presiden UMNO paling buruk dengan deretan skandal yang menyebabkan rakyat membencinya serta menolak UMNO dan BN.
Di tangan Najib, bukan saja UMNO kehilangan kuasa buat pertama kali sejak penubuhannya, malah sedang menuju kubur kematiannya.
Jika bapanya, Tun Razak dikenang sebagai bapa pembangunan, anaknya Najib akan tertulis sebagai bapa kehancuran UMNO dan BN.
Ditangannyalah UMNO hilang kuasa, ditangannya jugalah BN menuju kematiannya dan kerana karenah kepimpinannyalah menyebabkan negara ini hampir rosak binasa.
Mujur Tun Mahathir yang sudah 15 tahun bersara sedia untuk kembali jadi penyelamat kepada negara ini.
Andai kata Najib tidak dikalahkan, sejarah negara akan datang mungkin menyaksikan wujudnya pembinaan sebuah muzium beg tangan mewah yang pertama di dunia.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.