`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 7, 2018

Tindakan tegas jika Musa, Jamal keluar negara secara tidak sah

Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata tindakan akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar Akta Imigresen tanpa pilih kasih atau pilih bulu.
Datuk Seri Mustafar Ali. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman serta Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos sekiranya terbukti benar mereka ke luar negara tanpa melalui pintu keluar yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata tindakan akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar Akta Imigresen tanpa pilih kasih atau pilih bulu.
“Tentunya (Imigresen) akan mengambil tindakan kepada sesiapa juga yang terbukti melakukan kesalahan melanggar Akta Imigresen termasuk jika (mereka) terbukti ke luar negara tanpa melalui pintu keluar yang sah,” katanya hari ini.
Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendedahkan Musa dipercayai menjadikan negara Brunei Darussalam sebagai transit sebelum keluar meninggalkan negara.
Mohamad Fuzi berkata ini berikutan pihak Jabatan Imigresen tidak memiliki rekod bahawa bekas ketua menteri Sabah itu meninggalkan negara.
Polis juga cuba merakamkan kenyataan daripada bekas ketua menteri itu bagi menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 19 Mei dipercayai berhubung ugutan jenayah.
Selain itu, Jamal pula dipercayai melarikan diri ke negara jiran iaitu Indonesia menggunakan laluan tikus dan usaha mengesan lokasi sebenar beliau sedang giat dilaksanakan, kata Mohamad Fuzi.
Sebelum ini, beliau mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Jamal dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.
Jamal, 48, didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt tahun lepas. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.