Novel ditulis Pak Sako ketika menjadi tahanan ISA ini perlu dibaca oleh setiap calon yang merebut jawatan dalam Umno.
KOMEN
Salah seorang pengarang yang saya minati adalah Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.
Pada 2003, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika masih dalam blok pembangkang menyebutkan dalam satu perbahasan Parlimen: “Mereka itulah pejuang-pejuang kemerdekaan. Tetapi tidak… jarang disebut Dr Burhanuddin, jarang disebut Pak Sako (Ishak Haji Muhammad). Jarang disebut Ibrahim Yaakob. Jarang disebut Shamsiah Fakeh. Jarang disebut mereka yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan merengkok dalam tahanan.”
Pak Sako dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang dan meninggal dunia pada 7 November 1991. Pak Sako pernah terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan ditahan pemerintah kerana kegiatan politiknya antara tahun 1965-1966.
Dalam bidang sastera, Pak Sako pernah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada kerajaan Malaysia pada 29 Mei 1976.
Sebagai seorang ahli politik dari Barisan Sosialis tidaklah menghairankan Pak Sako, misalnya, lebih diperakukan oleh pendokong parti pembangkang khususnya untuk pengorbanan yang beliau berikan sepanjang perjuangannya untuk kemerdekaan Malaysia.
Menurut Abdul Latiff Abu Bakar dalam artikelnya, “Ishak Sebagai Seorang Penulis dan Ahli Politik”, Pak Sako dihargai kaum murbawan kerana “personalitinya yang memandang berat kepada hal ehwal masyarakat”, dan latar belakang beliau yang ‘datang dari keluarga petani (kelas bawahan).
Selain itu Pak Sako juga sering menyuarakan kritikan pedas terhadap pihak berkuasa. Oleh sebab itulah beliau dilihat sebagai “pengorak langkah” yang “mendahului zamannya” dalam “menentang ketidakadilan pemerintah dan masyarakat melalui penanya terutama karya-karya sasteranya”.
Novel yang saya uliti setelah PRU14 adalah “Yang Miskin dan Yang Mewah”, asalnya diterbitkan oleh Pustaka Melayu Baru pada 1966.
Pak Sako menulis novel ini ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1965. Menurut beliau, novel ini selesai dikarang di Kemah Tahanan Kuala Lumpur, “di bilek khas No. 65” dan draf manuskripnya disunting ketika berada di Kemah Tahanan Khas Batu Gajah, Perak.
“Yang Miskin dan Yang Mewah” adalah sebuah novel tipis (novelet) yang mengisahkan secebis pengalaman Zarina Zainab Ghafoor. Zarina yang digelar Za Za Gabor ini merupakan setiausaha peribadi Profesor Ali Ahmad, seorang ilmuan dalam bidang kemasyarakatan.
Harus dinyatakan di sini novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini tidak mempunyai plot yang berkesinambungan. Naratif diikat sebab dan akibatnya antara lain menerusi surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakak angkatnya, Siti Shamsinar.
Selain itu ditampilkan perbicaraan akademik antara Abu Bakar dan Masiran, iaitu dua orang pensyarah universiti mengenai sebuah forum yang bakal dianjurkan oleh Profesor Ali Ahmad berjudul “Yang Miskin dan Yang Mewah”.
Kemuncak novel ini ialah penganjuran forum itu sendiri yang dipengerusikan oleh Dato Osman Lailatulkadar. Perbincangan mengenai taraf hidup orang Melayu, hala tuju negara, propaganda pihak kerajaan, kemiskinan yang semakin melarat dalam kalangan kaum bawahan dan kebejatan moral menjadi inti pati forum ini.
Novel seterusnya memperlihatkan Profesor Ali Ahmad dan temannya Profesor Kudus mengupah seorang pemuda kampung yang cerdas bernama Shamsuddin untuk mengkaji dan menyiasat keadaan orang Melayu di pedalaman.
Shamsuddin yang diminati oleh Zarina adalah adik Siti Shamsinar. Ketiga-tiganya iaitu Zarina, Shamsuddin dan Siti Shamsinar turut hadir di acara forum tersebut.
Selepas satu tempoh menjadi pembantu penyelidik kepada Profesor Ali, Shamsuddin pulang dan menikahi Zarina yang baru menjanda. Pada malam Jumaat, ketika perkahwinan mereka masih lagi baharu, novel ini ditamatkan dengan perbualan antara Zarina dan suaminya mengenai nasib orang Melayu khususnya kaum wanita yang terdesak sehingga menjadi pelacur. Perbincangan pengantin baharu tersebut disulam dengan adegan urut mengurut, geletek menggeletek dan usik mengusik antara pasangan tersebut.
Pak Sako menyatakan beliau menulis novel “Yang Miskin dan Yang Mewah” ini untuk memberi kritikan yang membina, dan mensasarkan gagasan keadilan masyarakat dan ekonomi. Beliau seterusnya menyebut karya ini terilham dari kisah perjuangan kaum minoriti di Amerika syarikat, Afrika Selatan dan Rhodesia.
Penganjuran forum berjudul “Yang Miskin dan Yang Mewah” dalam novel ini selaku puncak naratif memperlihatkan bagaimana Pak Sako selaku pengarang menyediakan platform untuk aktor masyarakat sivil berbahas pro dan kontra mengenai dasar-dasar kerajaan. Forum itu juga menjadi ruang untuk kritikan-kritikan terhadap kerajaan dibentangkan.
Sebagai contoh, dalam novel ini di halaman 50, watak Anton Zailani seorang mahasiswa dari Universiti Malaya telah dihadirkan untuk mengkritik dasar kerajaan yang sendeng dan berpihak kepada kaum pemodal:
“Dato Pengerusi” yang terhormat.
“Dato Pengerusi” yang terhormat.
“Pada pengajian saya masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh selesai dengan mengadakan beberapa orang kapitalis Melayu sebab pada dasar-nya penindasan kaum kapitalis itu tidak memileh kaum atau bangsa. Kapitalis Melayu akan menindas buroh2 Melayu atau buroh2 daripada apa bangsa juga pun asalkan mereka itu boleh mendapat keuntongan. Sa-bagai chontoh yang kechil dan mudah, mari-lah kita lihat dan saksikan sa-orang pekedai Melayu yang berniaga dalam kampong sabuah Melayu. Adakah si pekedai itu akan menjual barang2 lebeh murah daripada sa-buah kedai yang lain dalam kampong itu juga yang dipunyai oleh seorang Malbari? Tentu tidak! Sebab-nya mudah benar. Kalau oleh dia saorang Melayu dan pelanggan2nya semau-nya Melaya maka dia menjual barang2nya lebeh murah kepada orang2 Melayu maka dalam sadikit masa sahaja dia akan bengkerap, kedai-nya tutop dan orang Malbari itu akan maju dan beruntong.
“Jadi, saya ulangi bahawa masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh hapus atau selesai degan mengadakan beberapa orang kapitalis2 Melayu, pemborong2 Melayu. Inilah yang di-sebut orang teori kachang goreng.”
Surat-surat Zarina kepada kakaknya Siti Shamsinar dalam novel “Yang Miskin dan Yang Mewah” turut berisi kritikan terhadap orang Melayu yang belum boleh bersatu merubah nasib mereka sendiri sebaliknya terus terpengaruh dengan hal-hal karut dan khayal.
Zarina menegaskan orang Melayu masih di takuk kemiskinan kerana tidak sedar kepada jurang kelas yang semakin lebar. Ini ekoran orang Melayu sentiasa berhibur dan tertutup oleh perkembangan isu semasa selain mudah diperbodohkan oleh kelas atasan.
Tan Sri A Samad Ismail dalam Kata Pendahuluan kepada “Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan”, mengulas aktiviti politik Pak Sako menyatakan, Ishak berhasrat menjadi seorang wakil rakyat di barisan pembangkang dan tidak pernah berharap untuk menjadi perdana menteri.
Samad menegaskan kehidupan seorang pemimpin pembangkang agak sukar walau beliau “terletak di luar arus perdana”. Apa yang lebih penting, Samad juga mencatatkan yang perjuangan politik Pak Sako “tidak pernah mencetuskan konflik yang tajam dengan golongan lain” dan ideologi “politiknya tidak mempengaruhi nilai-nilainya sebagai seorang manusia yang rendah diri”.
Novel nipis “Yang Miskin dan Yang Mewah” ini wajar dibaca oleh Khairy Jamaluddin dan sekalian yang berlumba-lumba ingin bertanding ketika pemilihan parti Umno akan datang.
Malah semua novel Pak Sako wajib dibaca oleh pemimpin pembangkang dari Umno ini. Hanya dengan penghayatan seni dan sastera yang tinggi di samping ketundukan, kepasrahan dan rasa rendah diri dapat memanusiakan kembali bekas-bekas pemimpin regim terdahulu yang sungguh angkuh.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Barisan Nasional. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.