Kamarul Azman Habibur Rahman, Utusan Online
1. Lama saya mengambil masa untuk menyusun jari jemari agar mampu menitipkan kebenaran dan membuka minda rakyat yang terpesona dengan fitnah bertahun lamanya dan kini menjadi api untuk membakar keutuhan bangsa. Sesiapa sahaja yang bercakap mengenai kebaikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan segera dilemparkan dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas dan saya sudah biasa dengan itu semua. Mengapa saya perlu takut untuk bercakap sesuatu yang benar. Saya tidak akan membiarkan seorang pemimpin Islam yang jujur terus menjadi mangsa kepada musuh durjana.
2. Akhirnya saya mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini untuk mengumpul segala kekuatan dan menyusun tiap baris ayat yang berpaksikan kebenaran agar segala fitnah berterbangan lalu hilang buat selama lamanya. Saya memahami bahawa ramai yang suka memihak daripada mencari kebenaran. Itu adalah asam garam budaya politik Melayu. Saya ketika berada dalam saf utama bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa di dalam parti Bersatu, mempunyai pilihan sama ada mendiamkan diri terhadap khianat yang disusun dan direncanakan terhadap Datuk Seri Najib atau bercakap benar lalu kehilangan segala apa yang ada. Akhirnya saya berpandangan bahawa kebahagiaan jiwa adalah dengan bercakap benar agar bangsa dan agama tidak diheret ke lembah kehancuran.
3. “Kita tak boleh membenarkan pembunuh menjadi Perdana Menteri kita”, “Najiblah yang telah membunuh Altantuya”, “Dengan projek Forest City, seramai dua juta orang dari China akan jadi warganegara Malaysia”, “Wang RM2.6 Billion itu duit 1MDB bukan derma dari Arab Saudi”, “Ghani Patail sudah siapkan kertas pertuduhan terhadap aNajib”, “Najib akan lari menaiki pesawat ke China dalam masa terdekat”, “Najib akan mengisytiharkan darurat jika BN kalaha dalam PRU”, “Datin Seri Rosmah guna bomoh yang merupakan sami dari India”, “Dalam rumah Najib ada berhala yang dipuja”, “Negara akan bankrap jika terus berada di bawah Najib”. Ini merupakan antara ribuan fitnah yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Najib dan isteri selama bertahun lamanya.
4. Saya begitu kepingin bertemu watak yang menjadi sasaran penghinaan demi penghinaan ini untuk mendapat jawapan daripada mulut beliau sendiri tentang beberapa isu yang hangat diperkatakan sebelum ini. Lebih kurang enam bulan selepas BN tumbang, saya diberi kesempatan untuk mengenali dua orang insan yang menjadi sasaran kebencian bertali arus daripada musuh politik mereka.
5. Walaupun berlatarbelakangkan antara pengkritik utama terhadapnya, saya disambut baik oleh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor ketika bertandang ke rumah mereka. Ini amat mengejutkan saya. Tidak ada sedikit pun kesan atau tanda tanda rasa tidak selesa atau dendam di hati kedua mereka ini.
6. Saya segera cuba mengenali kedua dua mereka kerana saya tidak punya banyak masa. Bimbang akan tekanan yang dihadapi oleh Najib dan isteri ekoran pendakwaan yang perlu mereka hadapi, saya tidak mahu kehadiran saya menyusahkan atau mengganggu mereka.
7. Namun Najib dan Rosmah adalah pasangan yang sangat berhemah dan tuan rumah yang berpekerti mulia. Mereka melayan saya dengan baik sekali. Saya melihat nilai-nilai dan budaya dan nurani Melayu yang amat tinggi dalam diri mereka. Mereka begitu baik melayan tetamu. Rosmah menyambut saya di pintu dengan senyuman dan kata kata indah sebagai tuan rumah berbudi tinggi. Kata-katanya sentiasa dilapik dengan perkataan ‘maaf’ jika seandainya tidak dapat memberi layanan sebaiknya sedangkan layanan beliau amat menyentuh perasaan saya. Mengenali Rosmah pada hari itu menjadikan seakan akan saya sudah mengenalinya bertahun lamanya. Kerana saya merupakan seorang guru yang sentiasa menilai ribuan pelajar, secara jujur saya boleh mengatakan bahawa beliau merupakan contoh tuan rumah yang berbudi pekerti hebat. Seperti seorang penyiasat persendirian, mata, telinga dan perasaan segera menyelinap untuk menilai kata-kata dan gerak badan mereka berdua untuk mendapat gambaran awal tentang peribadi mereka. Rosmah mempersilakan kami duduk dan beliau sendiri duduk di sofanya sambil memegang naskah terjemahan al-Quran lalu berbual dengan kami. Sesekali helaian naskah al-Quran itu dibeleknya.
8. Paling menarik ialah apabila putera mereka Norashman datang bersalam dengan saya sambil menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya. Anak pintar ini kemudian dengan penuh budi bahasa memohon izin daripada ibunya untuk keluar. Dengan nada seorang ibu yang penyayang Datin Seri Rosmah berkata, “Duduklah kejap. Berbual dengan cikgu.” Norashman menuruti dan dengan mudah memulakan bicara yang sangat tertib dan berilmu pengetahuan. Pada ketika itu saya membuat keputusan bahawa ini adalah keluarga yang dididik dengan nilai nilai budaya Melayu yang sangat tinggi. Patutlah Najib selalu menyebut tentang didikan yang diterima daripada kedua ibu bapanya. Ia bukan retorik tetapi hakikat kebenaran dan Najib mempunyai visi bahawa masyarakat perlu dibangunkan secara seimbang. Malahan Rosmah mengatakan bahawa keluarga adalah kekuatan buatnya.
9. Najib adalah seorang yang amat tenang. Walaupun berada dalam tekanan yang amat dasyat, beliau masih mempunyai keyakinan diri dan air muka ketenangannya menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang yang mudah untuk dipermainkan. Saya belajar suatu perkara yang amat penting dari Najib iaitu dendam tidak akan membahagiakan jiwa kita. Beliau tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Mahathir kerana “ini semua ujian Allah dan saya pasti yang benar tetap benar dan yang bathil tetap bathil. Lama kelamaan rakyat akan tahu juga perkara sebenarnya. Kerana itu saya serahkan segalanya kepada Allah”, katanya.
10. Najib yang saya kenal pada hari itu adalah seorang yang sangat Islamik dan tidak lupa tanggungjawabnya pada Allah. Beberapa kali beliau menyebut tentang keprihatinannya terhadap para pelajar tahfiz yang terpaksa mengharungi saat-saat sukar. Dia tidak melengahkan solat apabila azan berkumandang. Sementara Rosmah pula begitu tertumpu dengan terjemahan naskah al-Quran di tangannya. Sesekali dia membeleknya ketika saya menghirup kopi panas yang dihidangkan. Saya juga tahu bahawa sudah 14 tahun beliau mengamalkan tadarus al-Quran di rumahnya setiap Ramadan. “Walau apa pun orang lakukan terhadap kita, sama ada dengan sengaja ataupun tidak, jangan lupa bahawa Allah memerhati kita. Dan jangan lupa tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya dan juga tanggungjawab kita kepada manusia”, pesan Datin Seri kepada saya. Saya menjadi kagum kerana inilah wanita yang sering difitnah dengan pelbagai perkara yang jelek. Alangkah berdosanya kita yang turut sama mempercayai dan menyampaikannya.
11. Ketika kami berbicara perkara paling nyata dalam diri Datuk Seri Mohd Najib ialah beliau sangat prihatin terhadap rakyatnya, terutamanya golongan miskin. Beberapa kali dia menyebut tentang kebimbangannya terhadap golongan miskin. Setiap kali beliau bercakap tentang nasib rakyat miskin dan peneroka, air mukanya berubah. Ketika itulah kita dapat lihat kerunsingan di wajahnya.
12. Jika seseorang pemimpin lain gemar apabila orang bercakap tentang kejayaannya, Najib tidak begitu. Najib lebih suka bercakap tentang kejayaan rakyat Malaysia dan orang-orang Melayu di pesada antarabangsa. “Saya tak ada kroni. Kroni saya adalah rakyat miskin yang diberi peluang untuk berjaya”, kata Najib dengan yakin. Wajahnya berseri seri apabila bercakap tentang kejayaan anak anak Melayu dalam menjayakan IHH iaitu pengurusan hospital di luar negara. Kini satu persatu mula dijual oleh kerajaan PH. “Namakan saya kroni sipolan”, kata Najib kepada saya. Dengan pantas saya berjaya menyenaraikan beberapa nama tanpa ragu. “Namakan kroni saya”, ujarnya sekali lagi. Kali ini saya mengambil masa yang agak lama untuk berfikir dan akhirnya saya gagal untuk memberi hatta satu nama sekali pun.
13. Berbanding ketika saya berada bersama Bersatu, saya melihat bahawa Najib sangat peka dan yakin dengan hala tuju serta pembangunan yang hendak dibawa kepada negara ini. Pengetahuannya terhadap ekonomi amat menakjubkan. Jauh, jauh, jauh lebih hebat daripada para pemimpin yang ada dalam Pakatan Harapan terutamanya Lim Guan Eng. Secara jujur, Lim Guan Eng perlu belajar daripada Najib sekiranya beliau mahu memacu ekonomi negara dengan baik.
14. Jika ada yang bertanya kepada saya “Apakah yang dibimbangkan oleh Datuk Seri Najib?” Maka jawaban saya ialah “Nasib anak anak muda.” Najib bimbang bahawa nasib mereka tidak terbela dibawah kerajaan Pakatan Harapan. “Kita (BN) telah mempunyai pelan yang jitu untuk membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian. Ini bagi menjamin masa depan mereka. Malangnya mereka tertipu dengan janji bulan dan bintang PH. Saya risau bahawa PH tidak ada pelan yang berkesan untuk menentukan ini berlaku.”
Mungkin kekuatan Najib, tanpa disedarinya telah menyumbang kepada kejatuhannya. Ramai yang berpendapat bahawa Najib terlalu sibuk menjadi Perdana Menteri sehingga terlupa untuk berpolitik.
TRY WRITING THIS ARTICLE IN ENGLISH AND SEND IT TO MALAY MAIL
ReplyDeleteBerhemah? Mengatakan orang yang lebih tua, "kepala bapak engkau?"
ReplyDeleteOrang TUA taraf moyang cakap "Stupid Little Boy " ok tak?
Delete