`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 2, 2019

PAS Kedah Arah Ahli Sertai Himpunan Sabtu Ini

(Harakah) – PAS Kedah mengarahkan semua ahli PAS setiap peringkat untuk bersama-sama menghadiri Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam dan Perlembagan Negara yang akan diadakan pada 4 Mei ini di Masjid Jamek dan Sogo, Kuala Lumpur.
Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata himpunan berkenaan merupakan manifestasi keresahan rakyat mengenai isu-isu penting yang menyentuh secara langsung tentang peruntukan Islam adalah agama rasmi.
“Agama dan hak Islam tidak sesekali dapat disetarakan dengan agama lain meskipun penganut agama lain bebas beramal dengan anutan kepercayaan mereka,” ujar beliau.
Menurutnya lagi tindakan itu ekoran keresahan umat Islam yang merasakan kedudukan Islam tidak selamat di tangan pemerintah hari ini, apatah lagi dengan pelbagai isu Islam dan masyarakatnya yang dikesampingkan.
Antaranya, kata beliau budaya bertentangan dengan ajaran Islam seperti LGBT dipromosikan dengan jelas dan bebas. Isu pengurusan serta momokan masalah kewangan yang melibatkan institusi umat Islam seperti Tabung Haji selain mempamerkan sikap memperkecil amalan Islam di kalangannya.
“Dalam masa yang sama promosi pemahaman Islam Liberal semakin mendapat tempat dan semua di antaranya menggusarkan umat Islam.
“Rakyat juga merasa kegelisahan mengenai kedudukan kedaulatan negara apabila ada tangan-tangan ghaib yang cuba meratifikasi perjanjian-perjanjian antarabangsa tanpa pengetahuan rakyat.
“Hal ini umpama menggadai negara ke tangan orang luar, sedang negara kita, sewajarnya kitalah yang uruskan. Contoh nyata adalah percubaan meratifikasi Statute Rome yang jelas memberi tiket kepada kuasa luar mencampuri urusan dalam negara,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Justeru itu sambung beliau, kehadiran untuk bersama-sama himpunan itu adalah satu keperluan dan tuntutan dan semoga kesatuan serta kejituan semangat umat Islam memberi signal kepada pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan jangan sesekali mudah menyentuh atau mengkucar-kacirkan hak umat Islam yang jelas serta terang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia sejak sekian lama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.