PETALING JAYA: Denti dan Frankie, anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat mungkin ‘bergembira’ sebaik menerima ganjaran sebiji bola tenis selepas mengikuti misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Dis lalu.
Jasa dua ekor anjing itu bersama empat lagi ‘rakan’ dikenali Blake, Groose, Pop dan Lady cukup besar, membantu mengesan 31 mangsa terkorban dalam kejadian itu dengan menggunakan kelebihan deria bau.
Penemuan jasad mangsa yang separuh daripada jumlahnya membabitkan kanak-kanak membolehkan waris mereka mengucapkan selamat tinggal kepada insan tersayang dengan mengadakan upacara pengebumian sempurna.
Kelibat enam ekor anjing disiplin “Cadaver” (mayat) itu menarik perhatian ramai kerana bersama anggota pasukan keselamatan, mereka meredah selut tebal yang terhasil daripada runtuhan tanah – meranapkan sebahagian besar tapak perkhemahan Father Organic Farm.
Pengendali anjing pengesan, Thivagaran Yutaman, berkata semua wira berkaki empat itu diberi ganjaran berbentuk bola tenis untuk mereka bermain selepas berjaya melaksanakan operasi.
“Di tempat operasi, kita tak akan bagi apa-apa ‘reward’ (ganjaran). Bila balik dan masa latihan, kita akan bagi ‘reward’,” katanya kepada FMT.
Menurut Thivagaran, anjing disiplin “Cadaver” dilatih untuk menghidu mayat di darat dan air.
“Sebaik anjing pengesan ini disarung ‘vest’ khas untuk SAR darat, dia dah tahu kena cari mayat di darat. Jika disarung jaket keselamatan, dia sudah tahu dia kena cari mayat dalam air.
“Dia akan duduk atas bot, kalau dia akan jumpa apa-apa petunjuk dia akan menyalak atau dia akan kuis air (di kawasan) itu. Kita akan tanda tempat itu dan minta pasukan scuba (penyelam) cari (mangsa),” kata anggota bomba berusia 45 tahun itu.
Penggunaan khidmat anjing K9 itu, kata Thivagaran, membantu mengecilkan kawasan pencarian serta meringankan beban pasukan mencari dan menyelamat.
Macam keluarga sendiri
Menurut Thivagaran, Frankie bukan sekadar ‘rakan sekerja’ malah sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
Frankie seperti anjing pengesan lain dilayan seperti anak kecil, dimandikan, didandan, dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan dan rawatan gigi sekurang-kurangnya sekali setahun.
Kerana rasa sayang terhadap Frankie dan tidak sanggup berpisah dengannya, Thivagaran membatalkan hasrat pulang berkhidmat di kampung halamannya di Kedah.
“Saya memang nak habiskan (perkhidmatan saya) di Unit K9. Saya memang minat dengan anjing. Memang saya punya (niat) pindah (balik ke kampung) tapi tak ada hati nak pindah. (Saya) tak nak lepaskan anjing saya,” ujarnya.
Berkhidmat selama 18 tahun di Unit K9, bapa kepada dua orang anak itu sudah mengendalikan dua ekor anjing pengesan bernama Joe dan Frankie. Joe anjing baka jenis Labrador bergandingan bersamanya sehingga ia mati akibat sakit tua.
“(Jaga) Sehingga dia pencen dan tak larat jalan. Kena jaga kebajikan, macam orang tua kita juga. Kalau dia tak boleh jalan, kita kena angkat, mandikan dan bersihkan. Makan pun kena suap”.
Perasaan sama dikongsi seorang lagi pegawai bomba pengendali anjing pengesan, Tony Albert Mani, 29, yang bergandingan dengan Denti sejak empat tahun lalu. Anjing baka Labrador itu kini berusia enam tahun.
“Denti hiperaktif sentiasa nak bergerak dan satu lagi semangat kerja dia sangat tinggi,” kata anak kelahiran Sarawak itu.
Ketika bertugas pada operasi di Batang Kali, Tony memberitahu Denti cukup bersemangat dan dapat mengesan mangsa yang terperangkap dan tertimbus dalam runtuhan tanah.
“Saya rasa puas sebab kita dapat kesan semua mangsa, dapat cari walaupun sudah meninggal (dunia)…namun sedih untuk keluarga mangsa terlibat.
“Dekat luaran nampak kuat, tapi dalaman memang (saya) sedih. Kita nampak botol susu, pampers (lampin pakai buang) budak, selipar, teringat anak-anak dekat rumah. Memang sedih,” kongsinya.
Ketua Operasi Unit Anjing Pengesan K9, Rahmadhana Rusdian memberitahu bilangan anjing pengesan dan pegawai pengendali haiwan berkenaan setakat ini mencukupi namun agak mendesak dalam keadaan tertentu seperti musim tengkujuh.
“Jika ada peruntukan boleh tambah lagi bilangan anjing, jenis pengesan mangsa hidup, siasatan kebakaran, pengesan mayat, dan pengesan orang hilang di belantara; serta bilangan anggota sekali. Elok (ditambah) sebab kena ‘cover’ (jaga) daripada utara, selatan, dan pantai timur,” katanya.
Ketika ini, unit K9 dianggotai sembilan ekor pengesan siasatan kebakaran, enam pengesan orang hilang di belantara, dan dua pengesan mangsa hidup, bagi seluruh Semenanjung Malaysia. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.