`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 10, 2023

Isu harga makanan naik, pengusaha kantin harap ada perbincangan dengan KPM

 

Kenaikan harga makanan di kantin sekolah melibatkan sekolah yang membuka sebut harga kontrak baharu kepada pengusaha, kata Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah memaklumkan masih tidak ada sebarang pertemuan antara pihaknya dengan Kementerian Pendidikan bagi mencari penyelesaian isu dihadapi, termasuk kenaikan kos bahan mentah serta harga makanan.

Presidennya, Khairuddin Hamzah, berkata mereka bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbincangan itu khususnya bersama menterinya, Fadhlina Sidek.

“Sekiranya menteri sudi berjumpa, persatuan memang sangat mengalu-alukan,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, dia berkata, kenaikan harga makanan di kantin itu kebanyakan melibatkan sekolah yang membuka sebut harga kontrak baharu kepada pengusaha.

Katanya, ia mengambil kira kos bahan mentah yang meningkat ketika ini.

“Kenaikan harga makanan di kantin baru-baru ini berlaku di sekolah yang membuka tender baharu. Jadi, pemohon (pengusaha kantin) mengemukakan sebutharga sendiri untuk diguna pakai sehingga Disember 2024.

“Jadi, memang ada berlaku kenaikan sebab harga sebelum ini yang ditentukan dua atau tiga tahun lepas sudah tidak relevan,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, sekolah yang belum membuka tender baharu masih kekal dengan kontrak sebut harga lama namun pengusaha berdepan risiko kerugian kerana sukar mendapat keuntungan.

“Sebab itu sebelum ini ramai pengusaha kantin yang gulung tikar kerana tidak mendapat keuntungan apabila harga makanan tidak boleh dinaikkan sesuka hati berikutan terikat dengan perjanjian lama.

“Tender baharu ini memberi peluang kepada pengusaha meletakkan harga lebih munasabah dengan kos bahan makanan semasa. Tetapi, dengan sistem tender terbuka, sekolah cenderung memilih harga makanan paling murah dan harga sewa paling mahal,” katanya.

Oleh sebab itu, Khairuddin berkata, pengusaha hanya mengambil keuntungan paling minimum dan pada masa yang sama, berdepan risiko kerugian jika harga barang meningkat di luar jangkaan seperti yang berlaku tahun lepas.

Katanya, mereka juga berdepan kerugian susulan cuti sekolah yang panjang, menyebabkan pengusaha membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan sebelum ini untuk melanjutkan moratorium penyewaan kantin.

“Kita berharap kementerian tidak melaksanakan takwim persekolahan cuti yang terlalu panjang, secara tidak langsung dapat meringankan beban pengusaha kantin,” katanya.

Sebelum ini, FMT melaporkan, harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50% pada sesi pembukaan sekolah baru-baru ini, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

Susulan itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan melalui kementerian terbabit berbincang serta mencari formula bagi menangani isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.