PETALING JAYA: Jabatan Kastam Kelantan merampas 2,460,000 batang rokok putih bernilai RM1.84 juta selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Pulai, Gua Musang, semalam.
Serbuan dilakukan pada 2.20 petang hasil maklumat diterima serta intipan dijalankan mengenai kegiatan penyeludupan itu.
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, sebaik menerima maklumat itu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu menyerbu sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan barangan seludup terbabit.
“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah rokok dipercayai diseludup, dengan anggaran nilai sebanyak RM196,800 dan anggaran cukai sebanyak RM1,643,280,” katanya menurut Bernama.
Katanya, modus operandi digunakan sindiket terbabit ialah menyimpan stok rokok di rumah tidak bernombor, sebelum diagihkan kepada pelanggan untuk pasaran tempatan dan luar negeri.
“Kesemua rokok putih ini dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan tempatan sama ada di pantai barat sebelum disimpan dalam rumah tidak bernombor dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Rokok diklasifikasi sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Wan Jamal berkata, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh (20) kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.