Tajuk artikel ini boleh juga ditukar kepada “Umno ancam kerajaan?” Terjemahan daripada “Umno holding government to ransom?”. Mungkin tidak tepat terjemahannya tetapi membawa maksud sama. Apa pun “kerajaan tunduk tekanan Umno?” dan “Umno ancam kerajaan?” punya mesej sama dalam artikel ini.
Bermula dengan kontroversi Pulau, filem yang disifatkan Lembaga Penapis Filem dan kementerian Dalam Negeri sebagai sebuah “filem seram bukan porno”. Yang menjadi kontroversi atau yang dikritik teruk sesetengah pihak ialah trelernya yang dikatakan ada adegan seksi, panas, dan pelakon pakai bikini.
Lantas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berpandangan treler itu tidak sesuai untuk ditayangkan, pendirian yang mendapat reaksi negatif satu NGO yang menyifatkan pandangan Fahmi boleh menjurus ekstremisme. Menurut Saksi, sebuah inisiatif Pertubuhan Pertolongan Wanita, “Menanggapi pandangan sebegini mengenai badan wanita, seksualiti dan penapisan adalah kemerosotan menuju ekstremisme.”
Tidak kira sama ada setuju atau tidak tentang pendapat NGO berkenaan tetapi pendirian Fahmi membuat ramai mendongak kepala kerana beliau pernah bergerak aktif dalam bidang seni. Fahmi pernah menulis filem seram “Histeria” yang ditayang di pawagam sekitar 2008 dan pernah berlakon dalam drama Gol & Gincu.
Oleh itu ramai yang jangka beliau akan faham selok-belok seni. Tetapi mungkin kerana beliau fahamlah maka beliau kata apa yang beliau kata.
Namun saya faham (tetapi tidak semestinya setuju) mengapa beliau berpendapat treler Pulau tidak sesuai untuk ditayang. Saya kira semasa Gelombang Hijau masih bergelora, Fahmi mungkin tidak mahu memberi ‘peluru’ kepada musuh politik menembak kerajaan dengan menuduh kerajaan tidak peka akan sensitiviti orang Melayu-Islam dan sebagainya, jika beliau dilihat memihak kepada treler berkenaan. Itu mengambil kira kemungkinan tindakan yang boleh diambil musuh luaran…maklumlah enam pilihan raya negeri bakal menjelma.
Bagaimana pula kawan dalaman? Umpamanya Umno yang kepingin sokongan orang Melayu yang kian menghilang? Ia mungkin boleh meminta kerajaan perpaduan yang dianggotainya tidak memihak kepada treler itu untuk tujuan politiknya. Saya tidak mendakwa Umno ada meminta kerajaan berbuat demikian. Sekadar berpendapat parti itu boleh melakukan itu jika mahu.
Beralih kepada isu lebih besar. Bukan isu tadi tidak besar tetapi ini lebih mendapat perhatian ramai.
Ia mengenai bekas peguam negara Tommy Thomas. Kita tahu Umno tidak senang malah marah terhadap apa yang ditulis dalam buku Thomas berjudul “My story: Justice in the Wilderness”. Semasa Umno menerajui kerajaan sebelum ini, siasatan dijalankan oleh pasukan petugas khas. Perdana menteri waktu itu Ismail Sabri Yaakob pernah mengumumkan kerajaannya menyahkelaskan laporan berkenaan.
Siasatan ke atas buku Thomas didakwa pihak tertentu ‘tindak balas’ kerana beliau dilantik sebagai peguam negara oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad. Memendekkan cerita yang panjang, meskipun kerajaan sudah bertukar, isu Thomas belum selesai.
Awal bulan ini, lebih tepat 11 Januari lalu, Menteri Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi, Azalina Othman Said (orang Umno dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim), dilaporkan berkata Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja atau RCI setelah mengkaji cadangan pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Thomas.
Dalam pada itu, pada 19 Januari lalu, bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, dan peguam, Siti Kasim, dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung siasatan mengenai kenyataan yang dibuat Thomas. Polis membuat siasatan ke atas Thomas atas dakwaan kenyataan “perkauman terhadap kerajaan” yang dibuatnya pada forum “Dark Forces Towards GE15” yang diadakan pada 17 September 2022.
Sebaik keluar dari Bukit Aman setelah selesai memberi keterangan, Ambiga mendakwa di hadapan media “sangat jelas kepada saya bahawa siasatan ini salah satu tuntutan Umno kepada Pakatan Harapan.”
Lalu beliau bertanya lagi “kepada kerajaan reformis PH adakah ini salah satu tuntutan Umno berhubung Tommy Thomas? Adakah ia mempunyai kaitan dengan dakwaan terhadap beberapa pemimpin Umno? Dan saya ingin tahu daripada PH apa lagi yang anda sudah berikan kepada Umno?”
Saya membaca kata-kata Ambiga itu bagai menggambarkan ‘syak’ beliau bahawa Pakatan Harapan sudah “sell-out”, akur dengan kehendak Umno untuk memastikan sokongan berterusan parti itu supaya kerajaan perpaduan yang diterajui PH kekal. Apa pun sememangnya kenyataan tegas Ambiga membuka mata ramai kerana beliau dianggap penyokong PH atau seorang yang mendukung perjuangan PH. Paling tidak Ambiga dikatakan mesra PH.
Apa pun yang jelas seorang kawan sudah mula marah dan sangsi terhadap PH.
Dua hari sebelum Ambiga dan Siti dipanggil ke Bukit Aman, penulis veteran P Gunasegaram menulis di portal berita Malaysiakini menyifatkan Umno teman buruk buat PH. Dalam rencana bertajuk “Harapan has a lousy partner in Umno”, beliau menyenaraikan pelbagai ‘keburukan’ yang beliau maksudkan termasuk “mengeksplotasi” RCI yang penubuhannya dipersetujui Kabinet seperti yang diumum Azalina sebelum ini.
Pada hari Azalina membuat pengumumannya, iaitu 11 Januari, seorang kawan lama menghantar teks melalui aplikasi WhatsApp: “Kenapa mesti diadakan RCI untuk siasat buku Tommy Thomas? Nampaknya kerajaan ‘unity’ seolah-olah tak terdaya berdepan dengan tekanan Umno? Ni tak bagus untuk PM10.”
Bagi saya teguran itu sesuatu yang luar biasa kerana kawan saya ini penyokong PH terutama Anwar. Beliau tidak kenal Anwar secara peribadi tetapi menyokong kuat apa yang diperjuangkan Anwar. Tetapi bukan taksub. Oleh kerana saya kenal rapat dengan beliau saya berani menyatakan sokongannya terhadap Anwar adalah ikhlas. Beliau bukan jenis ‘sokong ada makna’ yakni mahu mengaut untung untuk diri sendiri.
Dua hari lalu beliau hantar lagi teks kepada saya: “Aku rasa biar betapa bagus sekali pun dia nak madanikan Malaysia tapi tengok cara dia meniti untuk tidak jatuh memang tak bawa perubahan. Kita tahu dia perlukan Umno tapi takkanlah sampai tergadai janji-janji penting dan besar?”
Banyak lagi yang beliau curahkan yang saya tidak cadang ulangi di sini. Cuma menyimpulkan beliau tidak mahu undi PH pada pilihan raya negeri akan datang atau tidak keluar mengundi. Sekarang beliau mengikut kata-katanya sendiri “marah dan kecewa” terhadap Anwar.
Saya tahu beliau bukan seorang merasakan demikian. Ada lagi (mungkin ramai) orang sepertinya yang meletakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas Anwar. Mereka penyokong ikhlas tetapi sudah marah dan kecewa. Ini Anwar mesti ambil peduli.
Mereka tidak punya akses kepada Anwar mahupun orang Anwar. Mereka memendam perasaan. Tapi kita tahu perasaan yang terpendam amat bahaya. Ia boleh meletup. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.