`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 9, 2023

Saya pernah terima ancaman bunuh, kata ketua hakim negara

 

Tengku Maimun Tuan Mat berkata, dalam kes melibatkan tokoh tertentu, komen yang ditujukan kepada badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes membabitkan tokoh dan personaliti tertentu.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam setiap kes mahkamah yang diputuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan sebaliknya.

“Itu lazim…yang menjadi luar biasa dalam kes-kes melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, sokongan atau kecaman agak luar biasa kerana umum mengetahui saya sendiri pun pernah mendapat ancaman bunuh.

“Serius atau tidak, itu soal lain, tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya pada majlis pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, apabila sesuatu kes melibatkan tokoh tertentu, komen yang ditujukan kepada badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen membina.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, setiap kes yang diputuskan mahkamah tidak mempunyai sebarang agenda, sebaliknya ia berdasarkan undang-udang dan selaras peruntukan sedia ada.

“Saya mengharapkan masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman.

“Jadi, fahami dulu, kemudian jika masih tidak faham, bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan jangan membuat kenyataan keterlaluan.”

Tahun lalu, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.