`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 9, 2023

Terap pemikiran kritis dalam pendidikan untuk tangani fanatik agama, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata, unsur seperti ekstremisme, fanatik dan keganasan perlu ditangani melalui penerapan pemikiran kritis dalam pendidikan.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pemikiran kritis harus dijadikan tradisi yang diterapkan dalam masyarakat bagi menangani sikap fanatik terhadap kepercayaan agama.

Katanya, unsur seperti ekstremisme, fanatik dan keganasan perlu ditangani melalui penerapan pemikiran kritis dalam pendidikan.

“Tanpa pemikiran kritis itulah, dia jadi umpamanya wala’ patuh saja, semua orang boleh jadi pakar, semua boleh jadi sheikh dan kemudian tidak ada usaha untuk menilai secara kritikal.

“Itu bukan tradisi Islam,” katanya menerusi syarahan umum bertajuk “Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia: Cabaran dan Harapan” di Jakarta sempena lawatan kerja rasminya ke Indonesia selama dua hari.

Anwar berkata, umat Islam dilatih berfikir secara kritis untuk memperhalusi setiap perkara bersandarkan ilmu dan tidak menerima secara semberono.

“Mana mungkin belajar Islam tanpa pemikiran kritis.

“Mahu terima hadis pun kita kena pastikan sahih. Maknanya, Islam itu semua dilatih awal untuk pastikan.”

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kecenderungan sistem pendidikan yang terlalu menumpukan pengkhususan sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan.

Justeru, beliau sudah mengingatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa masa depan negara terletak pada kemampuan menimba ilmu tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan, ihsan dan keadilan sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.