`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, January 31, 2026

Wajib Bahasa Melayu, Sejarah bukan satu bentuk paksaan, kata Zambry

Menteri pendidikan tinggi berkata dasar baharu pendidikan itu beri ruang dan peluang semua rakyat dapat pendidikan secara adil.

Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata tanggapan bahawa dasar wajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah adalah satu bentuk paksaan adalah tidak benar.
PUTRAJAYA:
 Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk paksaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata dasar baharu pendidikan yang diperkenalkan kerajaan itu bertujuan memberi ruang kepada semua rakyat untuk mendapatkan pendidikan masing-masing secara adil.

“Ini bukan soal paksaan. Saya harap kita kena perbetulkan dari segi tanggapan yang menganggap bahawa ini merupakan satu desakan dan sebagainya.

“Bagi saya apa yang kita lihat, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan mereka,” katanya selepas melancarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Dalam perkembangan sama, Zambry berkata proses perbincangan terperinci berhubung pelaksanaan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah aliran bukan kebangsaan telah pun dimulakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk perbincangan awal dengan tiga kelompok terbabit.

“Fokus seterusnya adalah melihat aspek kelulusan serta bagaimana memastikan kelayakan yang diperoleh pelajar selaras dengan syarat pengiktirafan, terutama apabila mereka memohon kemasukan ke universiti,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama semua pihak berkepentingan termasuk ketua pengarah pendidikan, ketua pengarah pendidikan tinggi dan CEO Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada minggu depan bagi memperincikan aspek teknikal serta kualiti pengiktirafan.

“Perbincangan ini akan dibuat secara lebih mendalam dan terperinci kerana ia melibatkan dasar kerajaan. Kita mahu memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan teliti,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan pandangan tertentu semata-mata, sebaliknya melalui proses libat urus menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan semua sekolah di Malaysia, termasuk sekolah agama, antarabangsa dan swasta, diwajibkan mengajar bahasa Melayu dan sejarah kepada semua pelajar warga Malaysia.

Dasar itu akan dilaksanakan dalam waktu persekolahan rasmi dan terpakai kepada semua institusi, termasuk yang menawarkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata wakil sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerima baik hasrat kerajaan untuk mewajibkan pengambilan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Fahmi berkata, selain KPM, KPT termasuk MQA juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil sekolah pelbagai aliran bagi meneliti aspek laluan ke institusi pendidikan tinggi awam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.