`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, January 31, 2026

Chow sahkan pegawai kanan disiasat SPRM berkait pembelian tanah

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata pegawai kanan itu masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.(Gambar Johnshen Lee)
PETALING JAYA:
 Kerajaan Pulau Pinang beri kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pegawai kanan kerajaan yang disyaki salah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata SPRM mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

“Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan tugas mereka secara bebas kerana kami bukan penyiasat tapi kerajaan negeri akan bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu program di George Town, lapor Bernama.

Semalam, SPRM dilaporkan menyiasat seorang pegawai kanan kerajaan di Pulau Pinang kerana disyaki salah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat di negeri itu.

Sumber berkata, kertas siasatan terbabit dibuka susulan pendedahan dibuat seorang Adun Pulau Pinang dalam sidang DUN pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, pasukan siasatan hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terbabit dalam kes itu bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk siasatan.

Mengulas lanjut, Chow berkata isu itu sebenarnya telah dibangkitkan dan diberi penjelasan semasa sidang DUN November lalu dan penjelasan yang diberikan ketika itu dianggap memuaskan.

Bagaimanapun, kata Chow isu itu dibangkitkan semula baru-baru ini sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.

Katanya, pegawai kanan itu masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.