Agensi telah tuntut permohonan maaf terbuka, hantaran diturunkan serta-merta.

SPRM memaklumkan, hantaran itu mengandungi tohmahan tidak benar, mengelirukan serta berpotensi menjejaskan kredibiliti dan reputasi suruhanjaya itu sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang.
Tambahnya, hantaran itu antara lain menuduh bahawa satu ‘saman palsu’ telah diserahkan oleh pegawai SPRM serta melabelkannya sebagai penipuan (scam).
“SPRM telah mengeluarkan tuntutan supaya permohonan maaf terbuka dibuat dan hantaran fitnah tersebut diturunkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.
“Sekiranya individu itu gagal mematuhi tuntutan ini, tindakan undang-undang akan diambil bagi melindungi imej dan reputasi SPRM.”
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan, pihaknya telah memperoleh izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu berkenaan, dengan tuduhan dijadualkan pada 5 Feb ini, melibatkan dakwaan rasuah berkaitan aktiviti ‘counter setting’ atau caturan kaunter imigresen.
SPRM turut menegaskan, semua siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau berunsur fitnah. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.