Exco Selangor berkata langkah itu sebahagian daripada dasar bagi memastikan pengurusan ladang babi dilaksanakan lebih teratur.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata langkah itu sebahagian daripada dasar negeri bagi memastikan pengurusan ladang babi dilaksanakan secara lebih teratur, mampan dan selaras aspek kesihatan awam serta alam sekitar.
“Dalam (mesyuarat) Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya telah membentangkan cadangan penambahbaikan dan semua pihak bersetuju. Saya juga akan mengadakan satu lagi dialog selepas ini dengan masyarakat serta persatuan-persatuan Cina untuk memberikan kefahaman.
“Kita mahu uruskan industri ini dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Izham berkata, penambahbaikan itu dilihat sangat perlu ekoran penternakan yang tidak diurus secara mampan berisiko mengundang pelbagai masalah termasuk penularan penyakit yang akhirnya merugikan industri itu sendiri.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memaklumkan dasar berhubung pengurusan ladang kepada pengusaha terlibat dan menegaskan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu.
Bagaimanapun, katanya tempoh munasabah bagi tujuan pengosongan dan pemindahan ladang secara berperingkat dan tersusun telah diberikan kepada penternak.
Selain itu, beliau berkata isu penyakit berkaitan ternakan babi di negeri itu setakat ini hanya membabitkan demam babi Afrika (ASF) yang tidak berjangkit kepada manusia dan bukannya virus nipah.
Dalam pada itu, Izham berkata Selangor menyasarkan peningkatan hasil padi kepada sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tan bagi satu hektar tanaman bagi memastikan pengeluaran lebih mampan.
Katanya, usaha itu akan dilakukan menerusi pendekatan baharu berimpak tinggi termasuk kaedah pengurusan sawah berskala besar.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan serta syarikat swasta bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam pengurusan sawah.
“Ketika ini subsidi padi mencecah RM1.28 bilion setahun dan kita melihat keperluan untuk menyusun semula sebahagian daripada subsidi itu sebagai insentif kepada syarikat yang bersedia bekerjasama dengan pesawah,” katanya sambil menambah antara isu dikenal pasti ialah ketidakpatuhan perjanjian apabila terdapat pesawah yang tidak menjual hasil kepada syarikat walaupun telah menerima bayaran pendahuluan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.