Rakyat biasa yang memberi dari gaji sederhana, dari hasil peniaga kecil, dari pendapatan harian yang tidak seberapa. Mereka memberi kerana percaya. Tugas kita sekarang ialah memastikan kepercayaan itu tidak dikhianati.

Ramadan selalu mengubah tangan kita. Tangan yang biasa memegang menjadi tangan yang memberi. Di lampu isyarat, di tabung masjid, di hujung jari melalui pindahan dalam talian, di kotak derma yang diletakkan berhampiran kaunter pembayaran. Ada sesuatu tentang bulan ini yang membuatkan hati lebih lembut dan dompet lebih terbuka.
Seorang pemandu e-hailing pernah bercerita kepada saya, setiap kali Ramadan dia akan asingkan sedikit hasil harian sebelum pulang. “Tak banyak, bang. Kadang RM10, kadang RM20. Tapi rasa tak sedap kalau tak bagi”. Dia tidak pernah menunggu resit. Tidak pernah meminta nama disebut. Baginya, memberi adalah cara untuk membersihkan hari.
Tetapi baru-baru ini, apabila beberapa pihak ditahan kerana disyaki menyalah guna dana yang dikutip daripada orang ramai, sesuatu dalam diri ramai antara kita terasa terganggu. Bukan sekadar tentang wang yang hilang tetapi tentang amanah yang pecah.
Apabila amanah pecah, bunyinya jauh lebih kuat daripada jumlah ringgit yang diseleweng.
Derma dari bawah, bukan atas
Laporan BBC tentang derma isi rumah di India menunjukkan satu hakikat yang menarik: kekuatan sebenar pemberian bukan datang daripada golongan elit, tetapi daripada rakyat biasa. Jutaan keluarga yang memberi sedikit demi sedikit membentuk gelombang besar yang menyokong institusi agama, dapur percuma, dan kerja kebajikan. Gambaran itu tidak asing bagi kita di Malaysia.
Tabung masjid penuh pada malam terakhir Ramadan. Kutipan derma untuk mangsa banjir bergerak pantas. Wakaf untuk pembinaan surau atau sekolah agama sering mendapat sambutan luar jangka. Sumbangan kecil tetapi kolektifnya luar biasa.
Di negara ini, agama bukan sekadar ritual. Ia struktur sosial. Ia membentuk rasa tanggungjawab. Ramai memberi bukan kerana publisiti tetapi kerana percaya bahawa di hujung setiap ringgit itu ada pahala, ada keberkatan, ada janji yang lebih besar daripada dunia. Namun apabila aliran wang menjadi besar, agama juga berpotensi menjadi ruang ekonomi yang lumayan.
Di sinilah garis halus itu bermula.
Apabila iman bertemu industri
Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa sebahagian kempen derma hari ini semakin profesional. Video disunting dengan muzik latar yang menyentuh hati. Naratif disusun rapi. Testimoni dipilih dengan cermat. Media sosial menjadi medan utama rayuan. Sebahagian usaha ini benar-benar ikhlas dan telus. Banyak NGO dan institusi agama bekerja keras membantu golongan memerlukan dengan penuh integriti.
Tetapi dalam beberapa kes yang sedang disiasat, dana yang dikutip atas nama kebajikan dan agama didakwa tidak sampai ke destinasi yang dijanjikan. Ada yang digunakan untuk kepentingan peribadi. Ada yang dipindahkan ke akaun lain. Ada yang kabur jejaknya. Isunya bukan hanya salah guna dana. Isunya adalah eksploitasi emosi.
Ramadan ialah musim empati. Musim orang mudah tersentuh. Jika empati itu dipentaskan sebagai skrip pemasaran, dan iman dijadikan modal kewangan, kita berdepan dengan persoalan moral yang jauh lebih besar daripada kes jenayah semata-mata.
Agama sepatutnya mendidik tentang amanah. Tetapi apabila agama dijadikan jenama, godaan untuk menjadikannya industri sangat kuat.
Dalam konteks Malaysia, zakat fitrah dan zakat harta diuruskan oleh institusi yang diamanahkan oleh undang-undang negeri. Setiap tahun, jumlah kutipan mencecah ratusan juta ringgit. Agihan pula disalurkan kepada asnaf yang telah dikenal pasti. Namun tidak dapat dinafikan, ada segelintir masyarakat yang memilih untuk tidak menyalurkan zakat fitrah melalui institusi rasmi.
Mereka lebih selesa memberi terus kepada keluarga miskin, jiran yang terhimpit, atau kenalan yang mereka rasakan lebih layak. Seorang kenalan saya memberikan terus bahagian zakat fitrahnya kepada yang dirasakan wajar — kepada seorang ibu yang merupakan isteri keempat yang dianiaya suami. Itu sekadar contoh. Alasan memberikan terus kepada sasaran adalah pelbagai.
Ada yang merasakan proses agihan terlalu birokratik. Ada yang kurang yakin dengan ketelusan pengurusan. Ada yang percaya bahawa memberi secara langsung lebih cepat dan lebih ‘kena’ pada sasaran. Fenomena ini menunjukkan satu perkara penting: kepercayaan adalah mata wang paling mahal dalam ekosistem kebajikan.
Apabila berlaku kes salah guna dana, walaupun melibatkan entiti tertentu sahaja, tempiasnya boleh terkena kepada keseluruhan sistem. Orang ramai mula bertanya. Mula meragui. Mula memilih jalan sendiri.
Dalam jangka panjang, jika kepercayaan terus terhakis, yang rugi bukan hanya institusi. Yang rugi ialah golongan asnaf yang sepatutnya menerima bantuan secara tersusun dan berterusan.
Mengembalikan makna memberi
Ada sedekah yang sunyi. Tangan kanan memberi tanpa pengetahuan tangan kiri. Tiada siaran langsung, tiada poster, tiada logo. Ada juga sedekah yang memerlukan sorotan. Projek besar, bantuan bencana, hospital, sekolah — semuanya memerlukan dana yang dikumpul secara terbuka dan terancang. Kedua-duanya ada tempatnya.
Masalahnya bukan pada publisiti semata-mata. Masalahnya timbul apabila publisiti menjadi alat manipulasi. Apabila cerita kesedihan diperdagangkan tanpa sempadan etika. Apabila penderitaan dijadikan latar belakang untuk menaikkan jenama. Di sinilah masyarakat perlu lebih bijak. Memberi dengan hati, tetapi juga dengan akal. Bertanya tentang laporan kewangan bukan tanda kurang iman. Menuntut ketelusan bukan tanda derhaka kepada agama. Amanah memerlukan akauntabiliti.
Ramadan mengajar kita bahawa sedekah bukan sekadar transaksi. Ia latihan jiwa. Ia mendidik kita tentang empati, tentang tanggungjawab sosial, tentang hak orang lain dalam harta kita. Tetapi dalam dunia yang semakin kompleks, keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disertai dengan sistem yang telus dan pengurusan yang berintegriti.
Institusi agama dan kebajikan perlu lebih proaktif dalam berkongsi laporan, memperjelas saluran agihan, dan membuka ruang audit yang diyakini masyarakat. Sementara itu, orang ramai juga perlu mendidik diri tentang saluran yang sah, memastikan organisasi berdaftar, dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen yang terlalu emosional tanpa maklumat jelas.
Kita tidak boleh membiarkan beberapa kes penyelewengan merosakkan budaya memberi yang telah lama berakar dalam masyarakat.
Jika di India, derma digambarkan sebagai ‘gelombang dari bawah’, di Malaysia juga semangat itu wujud. Rakyat biasa yang memberi dari gaji sederhana, dari hasil peniaga kecil, dari pendapatan harian yang tidak seberapa. Mereka memberi kerana percaya. Tugas kita sekarang ialah memastikan kepercayaan itu tidak dikhianati.
Ramadan akan berlalu. Tabung akan dikosongkan dan dikira. Resit akan disimpan atau dibuang. Tetapi persoalan tentang amanah akan terus tinggal. Dalam setiap ringgit yang kita hulurkan, ada dua perkara yang kita serahkan: wang dan kepercayaan.
Wang mungkin boleh diganti. Kepercayaan, jika pecah, jauh lebih sukar untuk dipulihkan. - FMT
Mohamed Nasser Mohamed adalah seorang karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.