Tanpa musuh tiada perpaduan, tanpa ketakutan tiada tindakan, dan tanpa serangan tiada kemenangan.

Propaganda tidak akan berkesan tanpa musuh, tanpa rasa ancaman, dan tanpa serangan naratif. Inilah inti kepada petua propaganda kelima: mencipta musuh bersama, membangunkan ketakutan yang terkawal dan menyerang musuh melalui naratif tersusun.
Naluri manusia sentiasa memerlukan ‘lawan’ untuk menyalurkan kebimbangan dan kemarahan kolektif. Musuh menjadikan rakyat bersatu, ketakutan menjadikan mereka bergerak, dan serangan menjadikan mereka yakin bahawa mereka berada di pihak yang benar. Prinsip ini selaras analisis Harold Lasswell (1927) menerusi tesis doktor falsafah kajian teknik propaganda ketika Perang Dunia dan telah dibuktikan keberkesanannya merentasi zaman, budaya dan sistem politik.
Manusia secara alaminya berpecah, mengikut kepentingan peribadi masing-masing. Namun, apabila musuh bersama dicipta, semua kepentingan peribadi dapat diminimakan.
Dalam sejarah perang dan strategi, Sun Tzu sering dianggap sebagai tokoh yang memahami perang bukan semata-mata pertembungan senjata, tetapi pertembungan minda. Walaupun istilah ‘propaganda’ tidak wujud pada zamannya, ajaran The Art of War jelas menunjukkan bahawa Sun Tzu sudah menggunakan prinsip yang sangat mirip dengan teknik propaganda moden: mewujudkan musuh yang jelas, membina rasa diancam, dan menyerang musuh melalui strategi psikologi sebelum serangan fizikal dilancarkan.
Sun Tzu menekankan peperangan tidak boleh berlaku tanpa musuh yang jelas. Bagi beliau, musuh ialah titik fokus yang menentukan arah tindakan dan menyatukan tentera. Musuh bukan hanya lawan, tetapi simbol kepada ancaman. Dengan menetapkan siapa musuh itu, pemimpin dapat membina perpaduan dan menghapuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat atau tentera.
Ajarannya, “Jika kau kenal akan musuh dan kenal akan dirimu, tidaklah kau gentar akan keputusan walau 100 peperangan sekali pun.” (3:18). Ini menunjukkan bahawa musuh perlu difahami, diperhati dan dibingkaikan dengan betul. Dalam konteks propaganda, ini bermaksud musuh mesti digambarkan secara konsisten mengenai siapa mereka, apa bahayanya, dan mengapa mereka mesti ditentang.
Selain mencipta musuh, Sun Tzu juga memahami kepentingan membangunkan rasa takut yang terkawal. Ketakutan dalam peperangan boleh membawa panik, tetapi jika diurus dengan bijaksana, ia menjadi tenaga untuk disiplin dan kesediaan.
Sun Tzu mengajar bahawa persepsi ancaman harus dibentuk. Ajarannya, “Ketika kita mendekat, kita mesti membuatkan para musuh percaya bahawa kita berada terlalu jauh…”(1:19). Ini bukan suatu penipuan, tetapi strategi untuk memastikan pasukan kekal berjaga-jaga. Ketakutan yang sederhana menjadikan tentera lebih fokus dan rakyat lebih patuh kepada arahan pemimpin. Dalam propaganda, strategi ini disebut ‘fear appeal’ mencipta rasa ancaman yang cukup untuk menggerakkan rakyat tanpa melemahkan moral mereka.
Prinsip terakhir ialah menyerang, tetapi bukan sekadar serangan fizikal. Sun Tzu menegaskan bahawa serangan terbaik ialah menyerang strategi, moral dan keyakinan musuh sebelum perang bermula. Kata beliau, “Kebijaksanaan yang agung itu adalah peruatan menghancurkan ketahanan musuh tanpa perlu melawan”. (3:2).
Ini bermaksud pemimpin harus melemahkan musuh melalui serangan psikologi: menimbulkan kekeliruan dalam barisan lawan, memecahkan kesatuan mereka, dan menggoncang keyakinan mereka terhadap pemimpin sendiri.
Serangan sebegini menjadikan musuh kalah sebelum pertempuran sebenar dimulakan. Dalam dunia moden, ini setara dengan serangan naratif iaitu melemahkan reputasi musuh, merosakkan kepercayaan penyokong mereka, dan mengawal gambaran siapa yang benar dan siapa yang salah.
Winston Churchill menjadi contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin menggunakan propaganda untuk mengawal emosi rakyat ketika menghadapi ancaman besar. Ketika beliau mengambil alih kepimpinan Britain pada 1940, negara itu sedang berada dalam keadaan genting. Tentera Nazi Jerman bergerak pantas menawan hampir seluruh Eropah, moral rakyat semakin merosot, dan masa depan kelihatan gelap.
Churchill sedar rakyat tidak akan bersatu jika ancaman tidak digambarkan dengan jelas. Beliau menonjolkan Adolf Hitler bukan sekadar sebagai musuh, tetapi sebagai simbol kejahatan yang mengancam seluruh tamadun manusia. Dengan menggambarkan Hitler sebagai ‘musuh kebebasan’ dan ‘kegelapan Eropah’, beliau mengubah perang ini daripada konflik ketenteraan menjadi perjuangan moral.
Naratif sebegini membuat rakyat melihat bahawa mereka bukan sekadar mempertahankan Britain, tetapi mempertahankan dunia daripada kehancuran. Musuh yang jelas dan digambarkan secara dramatik ini berjaya menyatukan rakyat yang sebelum itu berpecah, takut dan letih.
Selain mencipta musuh, Churchill menggunakan ketakutan secara strategik. Beliau tidak menyorok ancaman Nazi, tetapi membingkainya sebagai amaran yang mesti dihadapi dengan keberanian. Ketakutan yang beliau bangunkan bukan panik yang melemahkan, tetapi ketakutan yang membakar semangat.
Naratif beliau ketika kerajaan dibentuk pada 13 Mei 1940 bertegas, “Tiada apa yang mampu saya tawarkan selain darah, kudrat, air mata dan keringat”, berjaya menaikkan semangat dan moral rakyat Britain untuk melawan Nazi.
Ketika pengunduran besar-besaran Britain di Dunkirk (Operation Dynamo), di Parlimen beliau berhujah pada 4 Jun 1940 seperti “We shall fight on the beaches.” Churchill menekankan bahawa jika Britain kalah, kebebasan dan masa depan generasi akan datang akan musnah. Beliau perlu menaikkan moral rakyat dan Parlimen, sambil memberi amaran tentang bahaya Nazi Jerman.
Dengan cara ini, ketakutan menjadi sumber kekuatan. Rakyat tidak berdiam diri, tetapi bersedia menghadapi apa sahaja. Ketakutan dipadankan dengan harapan dan keberanian. Inilah kombinasi propaganda yang paling berkesan.
Beliau tidak hanya menyerang Hitler melalui strategi ketenteraan semata-mata, tetapi melalui bahasa dan simbol. Hitler digambarkan sebagai diktator gila, ancaman kepada manusia, dan lambang kegelapan.
Serangan moral seperti ini melemahkan imej Nazi di mata rakyat dan di pentas antarabangsa. Pada masa yang sama, ia menaikkan martabat Britain sebagai pembawa cahaya dan harapan. Dengan menyerang musuh melalui kata-kata, Churchill berjaya meruntuhkan aura ketakutan yang cuba dihasilkan Nazi, dan menaikkan semangat rakyat untuk terus berjuang walaupun keadaan amat sukar.
Kejayaan Churchill dalam Perang Dunia Kedua bukan hanya kerana kekuatan ketenteraan, tetapi kerana keupayaannya mengurus emosi rakyat dengan sangat cemerlang. Dengan mencipta musuh yang jelas, membina ketakutan yang menggerakkan, dan menyerang musuh melalui naratif moral, Churchill membuktikan bahawa perang yang sebenar bukan hanya berlaku di medan, tetapi dalam fikiran rakyat. Strategi ini kekal relevan hingga hari ini dalam komunikasi politik dan peperangan maklumat.
CC Too atau Too Chee Chew antara tokoh paling penting dalam sejarah perang psikologi Malaysia. Beliau bukan ahli politik, tetapi seorang pemikir strategik yang memahami bahawa kemenangan melawan Parti Komunis Malaya (PKM) bukan boleh dicapai dengan senjata semata-mata.
Pada awal darurat, sebahagian rakyat Melayu dan Cina tidak benar-benar memahami siapa sebenarnya komunis, apa ideologi mereka, dan bagaimana mereka bertindak. Kekeliruan ini membuatkan sokongan kepada kerajaan tidak kukuh. Too memahami bahawa tanpa musuh yang jelas, rakyat tidak akan bersatu untuk menolak komunis.
Dalam bukunya The Story of Psy Warrior beliau menjelaskan beberapa strategi dalam berhadapan dengan komunis. Antaranya membingkaikan PKM sebagai musuh bersama yang mengancam keselamatan negara, kehidupan keluarga, agama, dan masa depan Tanah Melayu.
Mesej kerajaan ‘kami adalah baik’. Too memastikan naratifnya menekankan ‘komunis adalah jahat’. Taktik ini dikenali sebagai negative emotional framing, yang lebih melekat dalam ingatan awam. Beliau membina identiti moral yang jelas iaitu yang menyokong komunis adalah pengkhianat.
Komunis digambarkan sebagai pihak yang ganas, tidak bermoral, antiagama, dan bertindak kejam terhadap penduduk kampung. Musuh yang sebelumnya ‘kabur’ kini muncul sebagai ancaman nyata. Dengan adanya musuh bersama yang digambarkan secara konsisten, rakyat mula melihat bahawa perjuangan kerajaan bukan sekadar operasi ketenteraan, tetapi usaha menyelamatkan tanah air.
Selain mencipta musuh, Too menggunakan ketakutan yang terkawal (controlled fear) bagi membangunkan kesedaran masyarakat tanpa menimbulkan panik. Ketakutan yang terlalu kuat boleh membuat rakyat hilang keyakinan, tetapi ketakutan yang sederhana dapat menjadikan mereka lebih berjaga-jaga dan patuh kepada arahan keselamatan.
Too menyerang komunis dengan gelaran keji (name calling) sebagai ‘pengganas’ dan disebarkan menerusi risalah, poster, ucapan dan kempen maklumat. Beliau juga menekankan betapa berbahayanya taktik komunis menerusi siri pembunuhan pemimpin kampung, sabotaj ekonomi, ugutan terhadap penduduk, dan cubaan merosakkan keharmonian kaum.
Too juga menyerang moral musuh dengan menyerlahkan kisah-kisah bekas anggota yang menyesal, konflik dalaman PKM, dan keburukan perjuangan mereka. Ini melemahkan imej komunis bukan sahaja di mata rakyat, tetapi juga di mata penyokong mereka sendiri. Serangan naratif sebegini menyebabkan PKM hilang daya tarikan, hilang simpati, dan lama-kelamaan hilang kredibiliti.
Sun Tzu, Churchill dan Too sebenarnya berkongsi prinsip yang sama dalam mengurus peperangan dengan prinsip propaganda: kemenangan bermula dengan mencipta musuh yang jelas supaya rakyat atau tentera mendapat arah, fokus dan sebab untuk bersatu. Sun Tzu menekankan bahawa musuh perlu dikenal pasti dan dibingkaikan dengan tepat kerana ia menentukan strategi dan disiplin tentera.
Churchill pula menggambarkan Hitler sebagai simbol kejahatan dunia agar rakyat Britain melihat perang sebagai perjuangan moral. Too melakukan perkara sama dengan membingkaikan komunis sebagai pengganas yang mengancam keselamatan, agama dan keluarga, sehingga rakyat Tanah Melayu memahami siapa yang perlu ditolak dan siapa yang perlu disokong.
Ketiga-tiga tokoh ini juga menggunakan teknik membangunkan ketakutan terkawal dan melancarkan serangan naratif. Sun Tzu menyerang moral dan strategi musuh sebelum bertempur, Churchill menyerang Hitler melalui bahasa dan simbol, dan Too menyerang komunis melalui risalah, maklumat dan perang psikologi. Gabungan ketiga-tiga teknik ini membuktikan bahawa perang sebenar sentiasa dimenangi di medan minda sebelum dimenangi di medan tempur.
Kesimpulannya, petua propaganda kelima bukan sekadar teknik komunikasi, tetapi strategi besar untuk mengawal minda dan membentuk emosi kolektif. Ia telah berjaya digunakan dalam peperangan kuno, dalam perang dunia, dan dalam konteks keselamatan Malaysia. Dan sehingga hari ini, prinsip ini tetap menjadi asas dalam mana-mana operasi propaganda politik moden: tanpa musuh tiada perpaduan, tanpa ketakutan tiada tindakan, dan tanpa serangan tiada kemenangan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.