Dalam percaturan semalam the biggest winner is PAS.

Pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional pada hemat saya (bukan saya seorang) adalah langkah bijak. Beliau dilihat sebagai pemimpin berwatak sederhana. Moderate. Beliau selesa memakai kot bertali leher, boleh juga berketayap dan jubah.
Beliau tidak extreme — ini penting bagi PN dalam usaha memikat pengundi bukan Melayu. Berpendidikan tinggi. Ikut profesyen beliau jurutera aeroangkasa. Sebagai menteri besar Terengganu kebolehan beliau dikatakan membanggakan.
Kata seorang pemerhati politik: “Samsuri bukan panglima perang. Beliau strategist. Dilihat sebagai wajah profesional PAS. Gaya bicaranya tenang dan diplomasi tinggi. Beliau ‘produk’ untuk menarik pengundi atas pagar dan golongan urban.”
Kata si pemerhati politik itu lagi: “PAS mungkin sengaja menggunakan ‘dua wajah’. (MB Kedah) Sanusi (Md Noh) untuk mengekalkan pangkalan sokongan sedia ada. Samsuri untuk memenangi hati rakyat Malaysia secara keseluruhan.”
Pelantikan Samsuri atau Dr Sam sebagai pengerusi PN juga menarik kerana sebelum ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mahu jawatan pengerusi dipegang oleh presiden parti komponen, seperti beliau semasa jadi pengerusi. Samsuri ialah naib presiden. Beliau dicalonkan Presiden Hadi Awang. Bukan memeranjatkan. Hadi akrab dengan Samsuri yang pernah jadi setiausaha politik Hadi.
Pelantikan Samsuri bermakna Muhyiddin dan Bersatu akur seorang naib presiden dijadikan pengerusi PN. Muhyiddin tidak dapat apa yang dihajati. Nampak ada kompromi atau mungkin beliau dan Bersatu terpaksa terima. Realitinya PAS memang gagah dalam PN.
Menarik juga bahawa PAS berpegang pada konsep kepimpinan ulama tetapi Samsuri bukan ulama. Sebelum ini ada kalangan PAS yakni geng ustaz tidak setuju jika Samsuri dipilih. Selaku pengerusi PN, Samsuri akan dijadikan poster boy PN. Ditakdirkan PN menang pilihan raya dan tubuh kerajaan pusat, Samsuri akan jadi perdana menteri. Ertinya bukan ulama jadi perdana menteri. Macam mana dengan konsep kepimpinan ulama?
Walaupun Samsuri mesra ulama, beliau bukan ulama. Mungkin PAS ketepikan perbezaan pendapat mengenai isu itu buat masa ini. Mungkin golongan ulama PAS buat masa ini terima pelantikan Samsuri untuk menyelsaikan masalah yang berlarutan dan menang pilihan raya.
Atau mungkin mereka memendam rasa? Pasti mereka gembira kerana sekurang-kurangnya jawatan pengerusi diisi orang parti. Secara langsung atau tidak, isyaratnya PAS is in charge.
Mungkin bagi PAS, masalah tidak puas hati orang bukan ulama jadi pengerusi PN boleh disimpan dulu, atau mungkin juga berpendirian: “we will cross the bridge when we come to it“. Wallahualam.
Seperkara lagi yang menarik ialah PAS akan ambil alih jawatan ketua pembangkang di Parlimen. Sememangya pun. PAS punya kerusi terbanyak dalam kalangan pembangkang. Memang wajar jawatan ketua miliknya. Setakat ini belum ada nama yang dikemukakan. Secara logik Hadi patut jadi ketua tetapi beliau sejak dahulu enggan. Sekarang atas sebab kesihatan. Namun PAS ada ramai lagi yang boleh dipilih. Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden antaranya. Seorang lagi Takiyuddin Hassan, setiausaha agung.
Dengan jawatan pengerusi PN dan ketua pembangkang diisi oleh pemimpin PAS, lengkaplah penguasaan parti itu dalam politik pembangkang tetapi sebelum ini pun PAS adalah force of the opposition.
Lalu pertanyaan susulan — apa jadi dengan Hamzah Zainudin? Muhyiddin dan Bersatu pasti puas hati Hamzah bukan lagi ketua pembangkang. In deed it is a big blow to Hamzah.
Sekarang kedudukan beliau tidak menentu. Beliau boleh jadi Ahli Parlimen bebas yang mesra pembangkang, yakni PAS tentulah bukan Bersatu atau beliau dan rakan-rakan boleh sertai PAS, jika parti itu nak terima. Mungkin PAS tak keberatan.
Atau sertai parti lain termasuk Umno. After all Presiden Zahid Hamidi dipetik media 15 Januari lalu mengakui partinya sentiasa terbuka untuk menerima semula bekas pemimpin.
Tetapi orang kuat presiden Umno berkata di Facebook: “Jangan tergila-gila pelawa pemimpin dan ahli Bersatu join kita semula. Jika mereka nak, biar mereka mohon. Apsal kita pulak sibuk nak menangguk di perigi buta?”
Ramai dalam Umno tidak lupa Bersatu ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin dulu untuk ‘bunuh’ Umno, dan Hamzah pula melompat ke Bersatu apabila Umno-BN hilang kuasa pada PRU14 tahun 2018.
Dalam percaturan semalam, the biggest winner is PAS. Muhyiddin dan Bersatu pun boleh dikata menang jugalah sedikit sebanyak. Mereka masih selesa bersama PAS dalam PN malah Muhyiddin dilantik timbalan pengerusi PN.
The biggest loser so far is Hamzah dan Co. Tetapi jika beliau masuk PAS dan parti tu pula pilih beliau jadi ketua pembangkang Hamzah pun menang besar. Muhyiddin tepuk dahi. PN tak aman. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.