Jabatan itu berkata ia bimbang potensi 'ikhtilat' atau percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram yang boleh mengundang sesuatu bercanggah dengan syarak.

Dalam satu kenyataan, ia berpandangan acara tidur beramai-ramai secara santai itu perlu diteliti dengan merujuk kepada elemen syarak dan adat Melayu supaya tidak mengundang fitnah terhadap Islam serta meminggirkan kehalusan nilai, akhlak dan budaya masyarakat Melayu.
“Kekhuatiran utama adalah potensi ‘ikhtilat’ atau percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang dilakukan secara pilihan boleh mengundang sesuatu yang bercanggah dengan syarak.
“Antara perkara lain yang bakal terhasil sewaktu berlakunya percampuran termasuk kesukaran memelihara pandangan, tersingkap batasan aurat, sentuhan dengan bukan mahram serta perkara-perkara lain yang bercanggah dengan syarak yang amat perlu dielakkan.
“Sehubungan itu, JMNPk menasihatkan agar acara ini perlu diperhalusi semula pelaksanaannya dan amatlah wajar pihak penganjur merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum penganjuran berlangsung,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Penganjuran acara oleh Tapir Studio itu dikatakan ingin menghidupkan semula pengalaman budaya lama dengan konsep moden serta menggalakkan hubungan sosial dan memberi pengalaman kepada individu yang mahu merasai suasana dan budaya berkenaan.
Selain itu, JMNPk, berkata implementasi syarak dalam seluruh dimensi kehidupan bermatlamat untuk kemaslahatan manusia dan ia juga merangkumi sebarang penganjuran acara serta program membabitkan individu dan keluarga Muslim serta masyarakat.
“Bukan tujuan beragama untuk menyempitkan kehidupan seseorang dan memutuskan hubungan sosial sesama manusia, namun ia sebagai penyelamat kepada diri manusia itu sendiri daripada kehinaan dan kerosakan nilai harga diri manusiawi.
“Beraktiviti atau berekreasi bagi menyegarkan ingatan serta bernostalgia tidaklah ditegah secara mutlak, namun perlu akur dan tunduk kepada panduan syarak yang memandu kehidupan manusia agar terselamat di dunia dan akhirat,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.