Saifuddin Abdullah turut cadang Reset tubuh majlis pemikir dan badan penyelidikan bagi memastikan gagasan berkenaan diterjemah kepada dasar jelas.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata gerakan diperkenalkan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin juga perlu menubuhkan majlis pemikir dan badan penyelidikan bagi memastikan gagasan berkenaan diterjemah kepada dasar jelas.
Katanya, pemikiran itu perlu meliputi dasar utama pembangunan negara, masyarakat dan geopolitik dunia, dengan matlamat menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat secara saksama.
“Gerakan reset perlu membangunkan pemikiran reset yang berorientasi dasar. Ini termasuklah menubuhkan majlis pemikir yang dianggotai tokoh-tokoh terkemuka dan badan penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam tulisan “Merentas Ruang” diterbitkan Sinar Harian.
Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin Yassin, sebelum melancarkan gerakan Reset sehari kemudian.
Minggu lalu, FMT melaporkan Saifuddin berkata Hamzah terus menggerakkan inisiatif Reset bagi memperkukuh Perikatan Nasional walaupun ada tentangan terhadap penyertaan parti baharu dikaitkan dengannya.
Bekas timbalan presiden Bersatu itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu. Bagaimanapun, Hamzah turut membayangkan platform bakal disertainya mungkin sudah berada dalam PN.
Pada Mac lalu, Muhyiddin berkata beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah mahu menyertai PN, sambil menegaskan hak menerima keahlian bukan ditentukan satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan persetujuan parti komponen.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata gagasan Reset perlu berpandukan al-Quran dan Sunnah, selain prinsip kebenaran dan keadilan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara, undang-undang, sejarah dan kebudayaan kebangsaan.
Bekas menteri luar itu berkata Reset juga mesti bersandarkan ilmu dan budaya ilmu bagi membina keyakinan serta komitmen dalam kalangan pendukungnya.
Katanya, pendekatan tempatan atau “manhaj Malaysia” perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaannya, termasuk melalui tafsiran baharu, maqasid syariah, integrasi ilmu, dan kerjasama antara pemimpin politik, kerajaan serta ilmuwan pelbagai bidang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.