`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Saturday, June 6, 2026

Kesuma manfaat dana RM50 juta kukuh perlaksanaan TVET 2.0

 Menterinya R Ramanan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk laksana program impak tinggi dalam usaha perkasa PMKS.

Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata inisiatif itu turut membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan sehingga RM50 juta menerusi Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Menterinya, R Ramanan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan program berimpak tinggi dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain mengarusperdanakan TVET sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kerjaya negara.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam melahirkan bakat masa depan yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi serta sejajar dengan keperluan industri.

“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika menyempurnakan Sambutan Hari TVET Negara hari ini, mengumumkan kerajaan membenarkan penggunaan dana sehingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK bagi memperkasakan agenda TVET negara.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata penggunaan dana itu tertakluk kepada syarat bahawa majikan dan pihak industri perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan TVET 2.0.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata pengumuman perdana menteri itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan PMKS untuk meningkatkan kemahiran serta menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.

“Pada masa sama, inisiatif ini akan membantu negara memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang semakin meningkat, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab bakat serantau,” katanya.

Beliau berkata dana berkenaan akan disalurkan bagi pelaksanaan program berimpak tinggi di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan PTPK, dengan tumpuan kepada sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi hijau, ekonomi biru serta ekonomi jingga yang dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan baharu berpotensi tinggi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri atas pengumuman peruntukan berkenaan yang disifatkan mampu memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0 serta agenda pembangunan modal insan negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.