Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya juga sedia kerjasama dengan pihak selain PN jika dasar perjuangan selari.

Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata, berbanding menyasarkan jumlah kerusi yang banyak, parti itu sebaliknya memberi fokus kepada kawasan yang berpotensi dimenangi, berdasarkan kekuatan sokongan di negeri itu.
“PAS Johor sedia 100% hadapi PRN, khususnya di kawasan yang kita nak tanding. Kita yakin mampu tambah kerusi di Johor selain berusaha kekalkan satu DUN (Maharani) yang telah dimenangi dalam PRN lalu.
“Kita tak pilih banyak kerusi, tetapi kita nilai ikut kemampuan, kekuatan dan peluang kawasan yang mampu menang,” katanya kepada FMT.
Beliau turut memaklumkan kerjasama antara parti dalam gabungan PN, termasuk Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di Johor, cukup baik dalam menghadapi PRN secara bersama sebagai satu pasukan.
Ditanya sama ada PAS sedia bekerjasama dengan pihak selain PN, termasuk kumpulan Gerakan Reset yang diasaskan oleh bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin, Mahfodz berkata, perkara itu selari dengan hasrat mereka untuk memperkukuh penyatuan ummah.
“Hasrat kita, PAS, sebagaimana ditegaskan Presiden Hadi Awang, adalah untuk teruskan usaha penyatuan ummah antara parti-parti Melayu dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.
“Sebab itulah kalau boleh bukan setakat dengan Bersatu sahaja, kita nak kerjasama dengan semua, sama ada kumpulan Reset (Hamzah), Pejuang dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) jika mempunyai dasar perjuangan yang selari.
“Kalau ia dipersetujui PAS pusat dan menepati ciri-ciri kerjasama, kita tidak ada masalah untuk kerjasama (dengan IPR),” katanya.
“Kita memang tak sasar bertanding solo. Untuk menang, kita perlu kerjasama sebab pemerintah sekarang ini perlu diganti. Banyak perkara yang dilakukan merugikan negara dan bangsa.”
Sebelum ini, Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal berkata, pembahagian kerusi PN Johor bagi menghadapi PRN hampir dimuktamadkan dengan kira-kira 80% kerusi telah selesai dirundingkan.
Katanya, baki 20% kerusi masih dalam perbincangan, melibatkan kerusi MIPP serta cadangan kerjasama menerusi pakatan pilihan raya dengan parti lain termasuk Muda dan IPR.
Sebelum DUN Johor dibubarkan pada Isnin lepas, BN membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022.
Pada PRN tersebut, Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi dan MUDA satu kerusi. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.