Muhyiddin Yassin hadir mesyuart majlis tertinggi PN malam ini, dikatakan bakal bincang kedudukan Bersatu.

Turut hadir Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pemuda Hilman Idham; serta pemangku ketua Wanita, Nolee Ashilin Mohammed Radzi jam 8.20 malam.
Kelihatan pemimpin PAS seperti Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan; Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa; Ketua Pengarah Pilihan Raya Sanusi Nor; serta Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Turut hadir Presiden Gerakan, Dominic Lau, dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan; selain Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar.
Penyokong PAS dilihat berkumpul di perkarangan ibu pejabat parti Islam itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, ketika berucap berharap tiada sebarang provokasi.
“Kita mengharapkan penyatuan ummah yang diusahakan PAS,” katanya.
Mesyuarat itu diadakan ketika kerjasama PAS dan Bersatu telah tamat, berlatarkan kemelut antara kedua-dua parti.
Muhyiddin malam tadi menegaskan Bersatu akan kekal dalam PN ‘sampai bila-bila’.
Selain itu, PAS sebelum ini mengumumkan ia menyokong Parti Wawasan Negara untuk menyertai PN. Wawasan dilancarkan oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Samsuri sebelum ini berkata sebarang perkara membabitkan keahlian atau kedudukan mana-mana parti dalam PN perlu melalui proses perbincangan dan keputusan bersama di peringkat kepimpinan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.